Berita

Allahyarhamah Tun Rahah selamat disemadikan

NAJIB turut sama mengusung jenazah Allahyarhamah untuk disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara petang tadi.
- Diterbit 19 Disember 2020 10:06 AM MYT

ALLAHYARHAMAH Tun Rahah Mohamad Noah yang meninggal dunia petang semalam, selamat dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini pada pukul 3.45 petang hari ini.

Istiadat pengebumian negara berlangsung dalam suasana cuaca mendung dan gerimis.

Jenazah disemadikan berhampiran kakaknya, Allahyarhamah Tun Suhaila Mohamad Noah yang juga isteri kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn yang meninggal dunia pada 2014.

Jenazah Tun Rahah diurus dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahah, Pantai Dalam sebelum dibawa ke Masjid Negara pada pukul 2.15 petang diiringi anak-anaknya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohd Nizam, Datuk Mohd Nazim dan Datuk Mohd Nazir.

Terdahulu, pemimpin-pemimpin negara, perwakilan asing serta orang ramai mula memberi penghormatan terakhir bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 1 petang.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni kemudian memimpin solat jenazah pada pukul 2.30 petang.

Sebaik selesai, jenazah diusung oleh anggota tentera pelbagai cabang perkhidmatan untuk disemadikan.

Raja Permasuri Agong, Tuanku Aminah Maimunah Iskandariah dan puteri baginda turut berangkat bercemar duli menziarahi majlis tersebut.

Baginda kemudian menyiram air mawar ke pusara Allahyarhamah diikuti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang hadir bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa menteri kabinet bagi memberi penghormatan terakhir.

Istiadat berakhir dengan penyerahan jalur gemilang oleh Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan yang mewakili kerajaan Malaysia kepada Mohd Najib. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas