WK2

Muruku bakar Noraniza Idris tarik perhatian pengunjung

Ihya' Ramadan Putrajaya 2022
- Diterbit 16 April 2022 2:00 AM MYT

RATU pop tradisional, Noraniza Idris tidak ketinggalan menyertai Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 dengan menjual produk terbaharu resipi turun-temurun keluarganya, Muruku Che Ani sempena sambutanAidilfitri akan datang.

Menariknya muruku yang hadir dalam lima perisa iaitu original (biasa), butter dan spicy ikan bilis serta salted egg tersebut mengekalkan konsep masakan tradisional iaitu dibakar menggunakan kayu api selain ramuan asli.

NORANIZA IDRIS

“Apabila kita bakar menggunakan kayu api, rasanya sangat berbeza dengan bakar menggunakan dapur arang atau gas. Selain itu, ia juga rangup, tidak berminyak dan tahan lebih lama,” ujarnya.

Katanya lagi, muruku kegemaran arwah bapanya itu turut dipelbagaikan dengan perisa baharu Iaitu salted egg memandangkan golongan muda lebih tertarik
dengan perisa tersebut.

“Kalau kita tengok sekarang kebanyakan orang suka makanan yang berperisa namun kita tetap tidak meninggalkan rasa original muruku,” kongsinya ketika dihubungi Wilayahku.

MURUKU Che Ani terdapat di Anjung Syawal, Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022, Presint 3, Putrajaya.

Bercerita tentang sambutan yang diterima, penyanyi yang mesra disapa Kak Ani ini berkata, lima hari pertama menyertai festival tersebut dia berjaya menjual sebanyak 200 balang muruku.

“Alhamdulillah, permintaan dan respons daripada pelanggan sangat bagus. Selain daripada itu, kami juga mendapat permintaan daripada rakyat Singapura dan Indonesia tetapi kami terpaksa menangguhkan kerana masih mencari-cari kaedah sesuai untuk menghantarnya.

“Kita juga membuka peluang kepada mereka yang ingin menjadi ejen atau membuat tempahan raya untuk menghubungi talian 016-291 8066 atau ke laman Instagram saya @noraniza_idris,” ujarnya.

Dalam pada itu, selain jualan kuih raya, pengunjung juga berpeluang menyertai tiga peraduan menarik iaitu Beli dan Menang, Makan dan Menang Duit Raya serta Selfie dan Menang yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Bagi peraduan Beli dan Menang misalnya, pengunjung hanya perlu membeli barang kelengkapan Hari Raya yang terdapat di Anjung Syawal dengan minimum pembelian serendah RM50 bersamaan lima kupon pembelian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas