Selebriti

“Saya akan lakukan apa sahaja”, isteri TMJ nekad bela Bella

|CHE Puan Khaleeda nekad bela keadilan buat Bella.|
- Diterbit 16 April 2022 4:58 AM MYT

ISTERI kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam menegaskan dirinya akan membela keadilan buat Bella.

“Saya akan lakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya ada untuk mendapatkan keadilan buat Bella,” kongsinya di Instagram story semalam (jumaat) berhubung kes penderaan terhadap Bella yang melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali.

CHE Puan Khaleeda nekad bela keadilan buat Bella.

Che Puan Khaleeda juga mengaku dirinya sudah penat melihat sikap segelintir manusia yang berfikir boleh melakukan apa sahaja terhadap insane yang lemah.

“Kamu boleh bersembunyi di sebalik barisan peguam tetapi yang pasti akan ada balasan yang setimpal buat sama ada di dunia dan akhirat.

“Kamu juga akan menjadi contoh kepada semua ‘pengecut’ di luar sana yang tidak pernah berfikir tentang akibat atas apa yang mereka lakukan di masa akan datang,” katanya.

Che Puan Khaleeda menaik kenyataan itu susulan perkongsian kontroversi peguam Siti Bainun di Facebook baru-baru ini yang turut mendapat kecaman warganet.

Semalam tular gambar barisan peguam yang mewakili Siti Bainun di Facebook.
Gambar berkenaan dikongsikan Hafidzah Hassan bersama anak guamnya dan sembilan lagi barisan peguambela yang turut mengendalikan kes berkenaan.

Rata-rata netizen tidak selesa dengan perkongsian tersebut yang seolah-olah tidak sensitif dengan perasaan masyarakat terutamanya di pihak Bella.

Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan (Bella) itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas