WK2

Seni sulaman warnai festival

|
- Diterbit 16 April 2022 2:00 AM MYT

SULAMAN merupakan seni warisan tradisional suatu ketika dahulu yang hampir hilang dek telan zaman. Namun kini ia kembali mewarnai fesyen pada rekaan busana serta tudung untuk digayakan wanita.

Tidak hairanlah di tapak festival Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 kali ini kelihatan ramai pengusaha yang mengambil kesempatan mengangkat seni sulaman pada pakaian seperti baju kurung, tudung bawal dan sebagainya.

Salah seorangnya adalah pengusaha Aniyz Chanteq Exclusive, Rozaini Yaakub yang mengakui minat mendalam terhadap seni sulaman telah bermula sejak usia remajanya lagi.

“Saya menghasilkan tudung rekaan sendiri iaitu bawal manik sulam dengan pelbagai pilihan warna-warna pastel kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan terutamanya di festival ini.

“Kalau kita lihat sekarang, ia agak susah untuk didapati. Jadi saya dan adik menghasilkan sendiri konsep dan rekaan bunga serta manik. Menariknya tentang
tudung ini coraknya tidak terlalu berat atau crowded dan warnanya juga lembut yang sesuai dipakai dengan semua baju.

“Setiap proses sulaman dan jahitan kita akan pantau demi memastikan rekaan tudung tersebut cantik, mewah juga kemas ketika dipakai,” ujarnya mengakui lebih 10 helai tudung berjaya dijual pada hari pertama menyertai festival tersebut.

Katanya lagi, harga bagi tudung rekaan eksklusifnya itu sangat berpatutan dalam lingkungan RM79 dan RM89 sehelai.

Sementara itu, bagi pengusaha Kuziegallery, Che Ku Rozinah Che Ku Abas juga mempertaruhkan baju kurung bersulam hasil tangan sendiri menggunakan kain italian jacket di Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022.

“Alhamdulillah ramai yang minat corak pada kain italian jacket kerana apabila dipakai ia akan terletak cantik di badan. Biasanya untuk hasilkan setiap rekaan itu, saya akan melihat trend terkini pemakaian dewasa dan kanak-kanak,” ujarnya.

Katanya lagi, baju yang berharga sekitar RM150 sehingga RM300 sehelai ini mesra solat yang mana zip pada lengan baju tersebut membolehkan pembeli mengambil wuduk dengan hanya menyingsing lengan sahaja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas