Selebriti

Min Yasmin tak berjauh hati

MIN YASMIN
MIN YASMIN
- Diterbit 12 Julai 2019 12:48 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

HAMPIR lima tahun mencipta nama di Filipina, penyanyi Min Yasmin kini bersyukur apabila berjaya menempatkan diri di pasaran muzik negara tersebut.

Ternyata percaturannya satu ketika dahulu untuk berhijrah membuahkan hasil sementelah sukar mendapat tempat di negara sendiri.

Bakat yang ada dalam dirinya membolehkannya menembusi pasaran negara tersebut lantas muncul dengan album duo berjudul 2 Voices bergandingan dengan penyanyi popular Filipina, Nikki Bocolod.

Meneruskan langkahnya, Min Yasmin atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz, 30, tampil pula dengan album kedua berjudul Langan Atay dan seterusnya menghasilkan album solo Filipina berjudul Pangarap.

Melihat kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya di luar sana, terbaru dia baru sahaja selesai siri jelajah bertemu peminat di 12 lokasi seluruh Filipina yang mana setiap lokasi dihadiri oleh 3,000 hingga 50,000 penonton.

“Ini adalah satu penghargaan yang cukup besar buat saya. Penat lelah selama ini terbayar akhirnya. Bukan mudah untuk menempatkan diri di sini memandangkan artis mereka sendiri cukup berbakat dan berkualiti.

“Apapun ini adalah semangat untuk saya terus melakar nama dan semakin berjaya di negara orang. Tidak ramai artis luar yang berpeluang tembusi pasaran muzik di Filipina dan saya berasa cukup bertuah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penerimaan luar biasa peminat di Filipina juga membuatkannya terus terpanggil untuk memberi yang terbaik. Dek kerana itu, dia perlu menjaga momentum tersebut dengan sebaiknya dari segi pemasaran dan sebagainya.

“Masa mula-mula datang ke Filipina, saya agak terkejut dengan peminat yang begitu terbuka mengekspresikan perasaan mereka kepada penyanyi yang mereka sukai. Tanpa segan-silu mereka akan menari tanpa disuruh dan menjerit-jerit memanggil nama kita sepanjang konsert.

“Kalau bawa lagu sedih pula, mereka akan turut menangis teresak-esak hinggakan kita di atas pentas pula terpaksa mengawal emosi supaya tidak ikut serta menangis bersama. Mereka menerima saya, bangsa dan agama,” ujarnya terharu.

Awal tahun lalu, penyanyi yang pernah mencuba nasib menerusi program realiti TV Jangan Lupa Lirik musim pertama dan Mentor 3 ini berjaya mengadakan konsert Min Yasmin Made In Asia Live In Concert di Zamboanga City, Mindanao dengan kehadiran lebih 5,000 penonton.

Tidak berjauh hati

Tidak terlepas diajukan soalan tentang perasaannya kerana sukar menempatkan diri di negara sendiri, Min Yasmin yang juga isteri komposer terkenal, Julfekar ini mengakui, dia tidak pernah berjauh hati tentang hal tersebut.

Enggan terus memikirkan tentang itu, Min bagaimanapun dalam perancangan untuk kembali fokus kepada kerjaya di Malaysia dan bakal mengeluarkan album istimewa berjudul ‘MIN YASMIN World On A String’.

“Kalau betul terasa hati, saya tak akan buat album di Malaysia sebab bukan melibatkan kos yang kecil. Untuk album yang mengandungi 18 buah lagu ini hampir keseluruhannya diiringi oleh live string dan menelan belanja yang besar,” ujarnya.

Katanya lagi, setakat ini album yang menerima sentuhan suaminya itu hampir 90 peratus selesai dan jika tiada aral melintang, ia bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Bertahun berulang-alik ke Filipina, Min Yasmin kini sedang fokus untuk mempelajari lebih mendalam lagi bahasa Tagalog. Pun begitu menurutnya, dia agak bernasib baik kerana rakyat di sana menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa percakapan.

“Setakat ini, kalau mereka bercakap dalam bahasa Tagalog, saya boleh memahaminya cuma untuk menjawab semula, masih tidak begitu fasih lagi. Untuk itu, saya masih dalam sesi pembelajaran agar tidak menimbulkan isu apabila menyanyi kelak,” kata Min.

LAGU-LAGU Min Yasmin banyak mendapat sentuhan Julfekar.
LAGU-LAGU Min Yasmin banyak mendapat sentuhan Julfekar.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas