Selera

Lokal Resto ketengah konsep 90-an

|||Processed with VSCO with c1 preset||SUDUT-untuk-pengunjung-mencuci-mata-serta-mengimbau-memori-zaman-silam-merasai-pengalaman-kanak-kanak-awal-90-an.
- Diterbit 12 Julai 2019 2:04 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KETIKA diberi peluang menguruskan restoran warisan keluarga, Muhammad Syukri Baharom, 29, bertekad untuk menyuntik elemen segar terhadap kedai makan milik keluarganya itu.

Dari kedai makan biasa, restoran tersebut bertukar wajah kepada kafe yang lebih santai dan menarik. Diberi nama Lokal Resto, kini kafe yang terletak di Batu Caves itu semakin menjadi pilihan ramai.

“Saya mula mengambil alih perniagaan ini pada tahun lepas. Bagi saya konsep kafe memang lebih bagus kerana ia teratur dan sistematik. Biarpun berimej kafe namun Lokal Resto menyajikan makanan berat seperti nasi,” ujarnya.

Beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, ia hanya dibuka pada sebelah pagi hingga awal petang sahaja. Untuk itu, pelanggan boleh menikmati sarapan pagi dan sekali gus menikmati hidangan tengah hari berupa set nasi di bawah harga RM10.

“Di sini kami menyediakan set nasi yang ringkas. Antaranya Nasi Ayam Goreng Bali, Nasi Daging Salai Masak Lemak, Nasi Sup Kambing Kaw Du dan dan banyak lagi.

“Menariknya kebanyakan pelanggan menyukai masakan kami kerana rasa yang pedas. Selain daripada itu, mereka tertarik kerana olahan menu yang saya buat agar tidak sama dengan yang ada di luar sana,” ujarnya yang juga merupakan tukang masak di sini.

Tambahnya lagi, Nasi Ayam Goreng Bali antara yang sering menjadi pilihan pelanggan. Menu berasal dari Indonesia ini kelihatan seperti Ayam Masak Merah namun diolah dengan memasukkan Bawang Holland, belacan dan kicap.

Selain daripada makanan berat, Lokal Resto juga menyajikan pilihan roti seperti Roti Bakar Benggali, Roti Goyang serta Roti Tiktak. Yang pasti roti-roti tersebut menjadi menu kegemaran pelanggan bagi sarapan pagi.

“Lokasi restoran yang strategik juga membuatkan kafe ini menjadi tumpuan ramai tidak kira umur serta kaum. Malah golongan muda pula sering berkunjung ke sini untuk menghabiskan masa bersama teman-teman,” ujarnya.

Berhasrat untuk menambah waktu operasi pada hujung minggu pula, kafe miliknya itu turut menggunakan khidmat tempahan secara dalam talian
seperti Food Panda dan Grab Food.

Konsep istimewa

Dilahirkan dalam tahun 1990-an, Syukri mengambil peluang untuk menata rias kafenya dengan konsep era tersebut. Malah dia turut mengabdikan set permainan ketika zaman kecilnya seperti congkak, gasing, penutup botol dan sebagainya di kafe.

“Selain menikmati hidangan, pelanggan juga dapat mencuci mata serta mengimbau memori zaman silam. Malah bagi remaja sekarang pula, mereka dapat merasai pengalaman kanak-kanak awal 90-an.

“Saya turut menerima maklum balas daripada pelanggan di laman sosial yang suka dengan konsep ini. Rata-ratanya menyatakan perasaan teruja kerana berpeluang melihat alat permainan zaman mereka kecil dahulu,” ujarnya.

Katanya lagi, di samping permainan, dia turut menjual makanan ringan yang popular satu ketika dahulu seperti Tora, Dendang, Nano-Nano, Nyam-Nyam dan banyak lagi.

“Ini merupakan antara keunikan yang ada di sini. Bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa juga turut teruja membelinya kerana keistimewaan tersebut,” ujarnya yang sangat teliti dengan susun atur kafe miliknya.

Processed with VSCO with c1 preset
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas