Berita

Mesin ATM beras beri manfaat golongan miskin bandar

GOLONGAN miskin bandar yang memerlukan beras percuma boleh datang mendapatkan bekalan beras percuma di RumahPrihatin@GrandSeasons.
- Diterbit 4 September 2021 7:00 AM MYT

INISIATIF  baharu RumahPrihatin@GrandSeasons dengan menyediakan mesin ATM beras dapat memberikan manfaat untuk golongan rentan dan miskin bandar tanpa perlu melalui birokrasi.

Pengasasnya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, bantusan itu akan diberikan kepada kira-kira 15,000 golongan miskin bandar yang tersenarai di dalam pengkalan data e-kasih dengan hanya perlu memasukkan data peribadi melalui sistem yang telah disediakan.

“Mereka boleh datang secara walk in. ATM beras sudah ada sistem dan hanya perlu memasukkan data, ada satu kamera mengambil wajah individu berkenaan dan guna kad pengenalan.

“Nama yang tidak tersenarai dalam sistem pula perlu datang membuat pendaftaran dengan memasukkan butiran diperlukan secara manual,” katanya dalam sidang akhbar di RumahPrihatin pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Pengarah Eksekutif RumahPrihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah dan Ketua Pegawai Eksekutif  YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, projek ATM beras ini merupakan yang pertama di Kuala Lumpur dan ia adalah projek perintis dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan YWP.

“Untuk lokasi pertama, kita menempatkan satu mesin di ruang legar hotel ini. Kita buat satu dulu, kerana mesin ini dibawa dari luar negara dan ia disumbangkan oleh pihak-pihak dan badan tertentu, Kita akan tengok bagaimana ia boleh dilaksanakan.

“Dengan adanya mesin ATM beras ini, mereka yang benar-benar memerlukan kepada beras percuma mereka boleh datang untuk mendapatkan di antara satu hingga lima kilogram dengan menggunakan bekas sendiri untuk mendapatkan bekalan yang disumbangkan,” katanya.

Selain dari ATM beras, Annuar turut memperkenal dua inisiatif baharu lain yang disediakan di RumahPrihatin@GrandSeasons dengan menyediakan 10 bilik dengan kemudahan 20 katil khas untuk pesakit kanser yang datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima bantuan ‘Toys Bank’ yang membekalkan barang permainan kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga miskin sekitar ibu kota. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas