Berita

Laungan merdeka bergema dari blok 29

PENDUDUK setempat membawa Jalur Gemilang untuk dipasangkan pada kenderaan sekitar sebagai tanda sambutan Hari Kebangsaan.
- Diterbit 5 September 2021 2:00 AM MYT

TIDAK dinafikan, pandemik COVID-19 yang melanda rakyat Malaysia ketika ini bukan hanya merencatkan pertumbuhan ekonomi penduduk dan pembangunan negara di samping merekodkan jumlah kematian yang tinggi dalam tempoh satu hari, ia juga menyebabkan rakyat terpaksa ‘berkurung’ selama berbulan-bulan.

Situasi yang melanda itu, mengakibatkan norma kehidupan masyarakat bertukar 360 darjah selain tidak dapat meraikan perayaan mahupun peristiwa penting seperti Hari Kemerdekaan.

Namun, ia tidak mematahkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya penduduk di Blok 29, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perak Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, apabila kesemua mereka menjayakan sambutan bermakna itu dengan cara tersendiri.

Kesemua mereka ‘berkumpul’ pada detik 12 tengah malam menjelang 31 Ogos baru-baru ini bagi mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang 76.2 meter (250 kaki) dari atas bumbung blok di samping laungan ‘Merdeka’ dan nyanyian lagu Negaraku.

Lebih menggembirakan, apabila inisiatif terbabit mendapat sambutan hangat selepas kesemua penghuni blok turut memainkan peranan tanpa mengira bangsa dan agama sejajar pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang diterapkan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Perak Bandar Baru Sentul, Fairul Iskandar Faizil De Souza, inisiatif tersebut tercetus menerusi perbincangan bersama antara ketua blok 29, Khairol Faddil Sulaiman dan ahli jawatankuasa (AJK) bloknya yang mahukan kemerdekaan dalam situasi COVID-19 di samping menggembirakan penduduk.

“Oleh itu, kami semua bersetuju menurunkan bendera Malaysia dari bahagian atas blok. Usaha ini dilakukan bermula hujung Julai lalu.

“Bagi mematuhi SOP (prosedur operasi standard) pada malam sambutan itu, penghuni akan berdiri di hadapan rumah masing-masing manakala AJK terlibat memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan sambutan,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Selasa.

Bagi Kairul Iskandar, usaha yang dilakukan itu bukan hanya dapat meneguhkan silaturahim antara penduduk yang berbilang bangsa, tetapi dapat mengajar anak-anak kecil tentang semangat dan cara baharu untuk menyambut merdeka walaupun dalam keadaan getir.

Sementara itu, timbalan ketua blok 29, S Gunalan, 38, memberitahu, Hari Kemerdekaan perlu diraikan demi memperingati peristiwa penting dan perjuangan tokoh-tokoh negara yang sanggup berkorban sehingga ke titisan darah terakhir demi membebaskan tanah air daripada penjajah.

“Semua kaum patut terlibat dalam meraikan hari bersejarah ini. Walaupun tidak boleh diraikan seperti sebelumnya, penduduk setempat perlu memainkan peranan penting dan mencari alternatif lain demi menonjolkan semangat patriotik dalam diri termasuk melakukannya secara maya.

“Bagi saya yang dahulunya tidak berminat dengan sebarang sambutan kemerdekaan, penularan wabak COVID-19 berjaya melahirkan semangat patriotik dalam diri ini kerana terasa sepi apabila tiada lagi sambutan dan percikan bunga api kelihatan,” katanya gembira.

Menurut penduduk setempat, Jamaliah Osman, 63, sambutan seumpama itu pertama kali diraikannya selepas kerajaan tidak membenarkan sambutan yang   menghimpunkan orang ramai seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Penduduk setempat lebih bersepakat kerana sambutan dalam kumpulan yang kecil. Saya juga rasa gembira kerana Hari Kebangsaan tetap diraikan dengan cara tersendiri.

“Walaupun dilanda wabak, kita  jangan jadikan ia sebagai masalah besar yang menyebabkan peristiwa penting tidak dapat diraikan,” katanya yang turut gembira melihat anak muda bersemangat meraikan merdeka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas