Berita

Menara City One, kondominium pertama dikenakan PKPD

Lokasi ketiga diletak bawah PKPD lepas Simpang Renggam, Hulu Langat
- Diterbit 30 Mac 2020 5:44 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kondominium Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, di Kuala Lumpur berkuat kuasa 31 Mac hingga 13 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilaksanakan berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mencatatkan kira-kira 17 kes positif Covid-19 di menara tersebut.

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga PKPD.

“PKPD ini melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ismail Sabri, PKPD dilaksanakan di kawasan itu adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya

Ini merupakan kes pertama sebuah kondominium dikenakan arahan PKPD oleh kerajaan.

“Dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama berkenaan.

“Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

“Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Kata Ismail Sabri, penghuni menara itu yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-2694 3243/ 03-4026 7222 atau 013-329 5141. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas