Berita

Dimensi geopolitik wabak Covid-19

WILAYAH Hubei, China terpaksa membawa pasukan perubatan dari wilayah lain bagi menangani wabak Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 30 Mac 2020 3:04 PM MYT

COVID-19 ini ada isu geopolitiknya. Ada pemerhati berpendapat bahawa yang sepatutnya mengetuai dalam perang melawan wabak ni adalah Amerika Syarikat.

Ini kerana negara itu adalah kuasa besar utama. Dengan sendirinya apabila berlaku ancaman berbentuk global, maka Washington wajar tampil sebagai ketua bagi menangani cabaran ini.S

Sebab itu, jawatan Presiden Amerika amat penting bagi dunia. Walaupun yang memilih Presiden Amerika adalah rakyatnya tetapi sejak Perang Dunia Kedua, anggapannya adalah ketua negara dan kerajaan negara itu adalah ketua dunia.

Malah secara tidak rasmi Presiden Amerika adalah “ketua dunia bebas,” suatu gelaran yang timbul semasa Perang Dingin.

Ia merujuk pada keadaan dunia yang ketika itu terbahagi pada “dunia bebas” dan “dunia komunis” yang diketuai oleh Soviet Union.

Bagaimanapun apabila berakhirnya Perang Dingin, dunia menjadi unipolar iaitu satu kutub dan Amerika menjadi ketua ekoran tumbangnya Soviet Union. Keadaan ini berlaku semasa Presiden Ronald Reagan.

Dari struktur sistem politik dunia, Amerika adalah salah satu anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersama United Kingdom, Perancis, Rusia dan China yang kuasanya berbentuk undi veto.

Tetapi dari segi kekuatan politik, ekonomi dan tentera adalah jelas, Amerika adalah paling kuat. Kekuatannya meletakkan kuasa besar itu sebagai pemimpin dunia. Malah ia mendapat jolokan “polis dunia.”

Jadi apa saja isu berbentuk global, Amerika wajar tampil sebagai ketua. Maka begitu jugalah sepatutnya berlaku apabila meletus ancaman wabak Covid-19 ini.

Walaupun ia berpunca dari China. Dari awal lagi, para pakar sudah menjangka bahawa virus novel corona dari Wuhan itu mampu merebak ke seluruh dunia.

Tetapi ketika virus ini mula timbul, Amerika dipimpin oleh Donald Trump.

Tidak seperti presiden-presiden Amerika terdahulu, Trump menang jawatan itu pada tahun 2016 dengan kempen untuk lebih memandang ke dalam negara. Trump tidak berminat untuk menjadikan Amerika mengetuai dunia.

Perhatiannya adalah untuk menjadikan Amerika hebat dengan menjaga kepentingannya. Ia memilih memandang ke dalam, daripada ke luar. Dalam pelaksanaan dasar itu, Washington bergaduh dengan China dan Iran di samping hubungan yang tidak baik dengan Eropah. Dengan China, berlakulah perang dagang.

Pihak berkuasa kesihatan dunia, sebuah agensi PBB, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membawa isu virus pada dunia.

Pada awalnya tiada sebarang kenyataan dari PBB. Tapi WHO mula menasihatkan negara-negara dunia supaya bersedia. China bertindak cepat dan menutup Wuhan. Tetapi ia tetap terlambat. Covid-19 sudah mula sampai ke Korea Selatan, Jepun, Eropah dan Asia Tenggara.

Dalam keadaan ini, ada nada perkauman. Di Amerika dan Eropah, virus itu dipanggil virus China atau virus Wuhan. Beijing membantah.

WHO yang terima baik kaedah China menamakannya Covid-19.

Merebak

Apabila ia terus merebak, WHO mengakui bahawa ia tersilap dalam menilai keseriusan wabak itu.

Kemudian timbul bahawa China lewat dalam memberitahu mengenai wabak itu. Dengan keadaan bertambah buruk, Amerika tidak mengambil berat walaupun pakar-pakarnya menyatakan keprihatinannya. Sebaliknya Trump pada awalnya menganggap wabak itu hoaks.

Eropah juga lambat bertindak. Malah ada kalangan di Jerman yang berpendapat kaedah China itu menutup Wuhan adalah bukan caranya. Di UK, ada yang berpendapat tidak perlu tutup bandar dan negara kerana apabila virus itu berkembang di kalangan penduduk, akan muncul golongan yang imun untuk menjadi benteng. Kesatuan Eropah (EU) juga lambat bertindak.

Hanya apabila Itali dilanda teruk untuk diikuti Sepanyol, negara-negara EU bertindak. Jerman menutup sempadannya dan melarang penjualan keluar keperluan alat untuk lawan Covid-19 seperti penutup mulut dan ventilator. Begitu juga beberapa negara Eropah lain

Keadaan ini menimbulkan kemarahan pihak EU. Apabila menghadapi cabaran, mereka kehilangan solidariti. Sebaliknya yang membantu Itali ialah China, Rusia dan Cuba, kesemuanya bukan anggota EU.

Sepatutnya yang mengetuai Eropah adalah negara terbesarnya iaitu Jerman diikuti Perancis tetapi kedua-dua negara itu lebih tertumpu pada keadaan dalam negara mereka.

Presiden Majlis Eropah pun mengkritik negara-negara anggota kerana tidak menunjukkan solidariti. Setelah teguran itu barulah sempadan Jerman dibuka untuk memberi laluan bekalan yang diperlukan Itali dan Sepanyol. Malah kemudiannya, pesakit dari itali ada diterbangkan ke Jerman dan Switzerland.

Di peringkat global bukan saja Amerika tidak menunjukkan kepimpinan tetapi bertelagah dalam suasana dunia menghadapi peperangan wabak.

Terhadap Iran, sekatan Amerika berterusan hingga menyukarkan Teheran untuk mendapat bekalan perubatan dan peralatan kesihatan.

Sebaliknya, China yang membantu Iran. Tetapi pertelagahan besar Amerika adalah dengan China.

Media Amerika terus mengungkit bahawa China menyembunyikan maklumat pada awal wabak hingga dunia lambat menyedarinya. Trump terus menggunakan istilah “virus Wuhan.”

Sementara itu, media China menyebarkan berita bahawa virus itu adalah senjata bio Amerika yang dilepaskan di Wuhan. Terdapat teori-teori konspirasi berhubung perkara ini.

Pertelingkahan

Di pihak Amerika, ada yang mencadangkan bahawa virus itu adalah senjata bio China yang terlepas. Semua pihak menafikannya. Beijing juga mengungkit bahawa Amerika berjanji hendak tolong China tetapi bantuan tidak sampai.

Pertelingkahan ini hanya reda setelah berlaku perbualan telefon antara Trump dengan Presiden Xi Jinping.

China yang mengumumkan telah berjaya mengalahkan Covid-19 di Wuhan dan wilayah Hubei terus membantu negara-negara lain termasuk Malaysia. Pun begitu timbul pertelagahan dengan Jepun, negara sekutu Amerika.

 Dari awal Jepun kelihatan tidak terkena virus ini dengan banyak. Gelombang yang besar datangnya dari kapal siar Diamond Princess yang datang berlabuh dari China. Jepun dikritik kerana tidak ketat dalam kawalan virus dari kapal itu.

 Media Jepun tidak membesarkan wabak itu dalam negara pada awalnya. Ketika itu Tokyo mahu sukan Olimpik diteruskan. Hinggalah wabak ini sudah begitu global dan Canada memutuskan untuk tidak dapat hantar olahragawannya. Barulah Olimpik ditangguhkan. Selepas itu barulah tersiar banyak berita mengenai wabak itu di Jepun. Tetapi Jepun seperti juga beberapa negara lain dunia, umpamanya Sweden tidak mengenakan perintah kurungan.

Tetapi kerajaan Jepun menyalahkan WHO kerana mudah percaya dengan angka yang China beri tanpa siasatan rapi. Ia mendakwa China menyembunyikan angka sebenar. Malah Menteri Luar Jepun menuntut Ketua Pengarah WHO diganti. Timbul juga bahawa Ketua Pengarah agensi itu dapat menyandang jawatan itu atas sokongan China.

Dalam pada itu, agak lewat juga, Setiausaha Agung PBB baru keluarkan kenyataan. Sedangkan kedudukan beliau itu sesuai untuk menerajui kempen menentang Covid-19.

Arahan beliau bahawa semua pertempuran di dunia patut diadakan gencatan senjata supaya tumpuan wajar diberikan pada melawan Covid-19 adalah tepat.

Tetapi ia tidak dipedulikan. Perang Arab Saudi di Yaman masih berterusan. Begitu juga di Libya. Gencatan hanya dapat dilakukan jika ia melibatkan semua pihak termasuk Amerika.

Pada waktu wabak ini bagaimanapun Amerika berusaha untuk mewujudkan gencatan senjata dengan Taliban dengan Afghanistan.

Tetapi kelihatannya Taliban tidak patuh dan serangan terus berlaku di situ.

Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri persuratkhabaran dan majalah. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas