Berita

Penduduk lega dua laluan Jalan Sentul Pasar dibuka

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan terpaksa menutup dua laluan yang menyebabkan kesulitan kepada pengguna
- Diterbit 19 April 2024 3:32 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan di laluan Jalan Sentul Pasar sebagai langkah menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas yang berlanjutan di kawasan berkenaan.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai Chen Heng berkata kerja-kerja penyelenggaraan di laluan itu tidak hanya memberi nafas lega malah mengurangkan keresahan serta kebimbangan yang selama ini dialami penduduk berdekatan termasuk pengguna jalan raya.

“Banyak aduan dan laporan yang diterima mengenai isu ini terutama dari aspek kerja naik taraf yang mengambil masa panjang serta laluan menjadi semakin sesak berikutan hanya satu laluan sahaja dibuka.

“Justeru itu, saya mengambil keputusan untuk turun padang meninjau sendiri projek berkenaan pada Selasa bersama Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran (JKAWS), Ir Mohd Ali Paimin dan didapati bahawa tanah di kawasan itu semakin mendap akibat paip utiliti yang bocor serta menjadi takungan air bawah tanah.

“Kerja-kerja naik taraf ini bukan mudah untuk dilaksanakan, ia memakan masa yang lama kerana DBKL perlu mengorek tanah sedalam 12 meter bagi memastikan tiada kebocoran berlaku dan ia menyebabkan terpaksa membuka hanya satu laluan sahaja untuk digunakan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Susulan daripada masalah tersebut, Andre meminta DBKL untuk melaksanakan separuh kerja-kerja penurapan jalan dengan membuka dua laluan di kawasan berkenaan sementara ia masih dalam proses pelaksanaan sebelum akhir tahun ini.

“Laluan ini adalah jalan utama yang menghubungkan penduduk di Sentul dan Batu Muda menuju ke Maxim dan Jalan Ipoh, jadi ia memang tidak boleh ditutup sepenuhnya. Saya faham keluhan dan keresahan penduduk terutama di sekitar Apartment Sky Awani dan yang berdekatan meminta projek ini disiapkan secepatnya memandangkan ia sudah berlanjutan sekian lamanya.

“Oleh itu, pada Isnin saya telah minta DBKL untuk menyiapkan mana-mana kawasan yang berpotensi disiapkan awal dan membuka dua laluan supaya memudahkan pergerakan lalu lintas. Mereka juga telah membuat pemeriksaan dan mendapati tiada kebocoran berlaku di paip utiliti termasuk selepas kerja-kerja turapan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Andre berharap orang ramai khususnya penduduk berdekatan memberi ruang kepada DBKL untuk menyelesaikan kerja naik taraf tersebut dan memastikan kerja-kerja berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu Disember tahun ini.

“DBKL akan cuba mempercepatkan untuk membuka laluan penuh. Saya berharap agar pengguna jalan raya dapat bersabar demi kebaikan untuk jangka masa panjang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas