WK2

Membawa perubahan ke Labuan

|
- Diterbit 3 Februari 2020 2:12 AM MYT

LABUAN berkembang pesat setelah kerajaan Sabah menyerahkan pulau ini untuk ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1984. Melalui pembangunan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, pulau ini mula menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurus niaga terutama setelah Labuan diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) pada Oktober 1990 yang kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (LOFSA). Namun ketika industri gas dan minyak dunia mengalami kemerosotan, ekonomi Labuan yang dipacu oleh sektor ini turut terkesan. Bagi Pengerusi Perbadanan Labuan, DATUK SERI AMIR HUSSEIN (gambar), pihaknya menghadapi cabaran untuk menstabilkan kembali ekonomi Labuan melalui pelbagai inisiatif ekonomi Labuan. Ikuti temubual wartawan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY bersama Amir sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020.

Bagi Perbadanan Labuan (PL), apakah impak sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini?
AMIR: Seperti tahun-tahun sebelum ini Sambutan Hari Wilayah Persekutuan sememangnya memberi impak yang cukup positif di hati warga Labuan. Sambutan ini sudah sinonim apatah lagi ia memberi makna yang besar dan kesan dari segi sosial, budaya dan ekonomi.

Ditambah lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, pelbagai inisiatif dan program telah disusun sepanjang tahun ini untuk memastikan Labuan mendapat impak secara maksimum.

Bagaimanakah sambutan warga Labuan?
AMIR: Sambutan Hari Wilayah Persekutuan memang sangat dekat di hati warga pulau ini serta amat dinantikan. Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sangat prihatin bahawa warga Labuan tidak harus ditinggalkan dalam meraikan hari yang penuh sejarah ini.

Apakah yang perlu dilakukan untuk menambah baik pembangunan di Labuan?
AMIR: Labuan seharusnya seiring dengan pembangunan di dua Wilayah Persekutuan yang lain.

Warga Labuan amat mengharapkan agar infrastruktur serta keadaan sosio ekonomi penduduk dapat ditambah baik melalui platform yang disalurkan oleh pihak kerajaan. Kita lihat sekarang lima projek teras melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) akan dilaksanakan mulai tahun ini. Saya lihat ia akan merubah landskap ekonomi dan persekitaran Labuan.

Selain pelancongan, apakah usaha PL untuk menjana ekonomi agar Labuan menjadi destinasi penting dalam sesuatu industri baharu?
AMIR: PL sememangnya sangat giat berusaha memastikan pembangunan sektor ekonomi ditingkatkan bukan sahaja dari aspek pelancongan malah giat berusaha untuk membawa seberapa ramai pelabur dalam pelbagai industri seperti perkapalan.

Ini secara tidak langsung mampu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat di pulau ini. Seperti yang saya sebut tadi untuk tahun ini, lima projek teras melalui PFI akan dilaksanakan seawal Januari ini seperti Pemulihan Tapak Halal Hub, skrin gergasi LED di Dataran Labuan, hotel di sebelah terminal feri, Pulau Papan, Esplanade dan beberapa projek lagi yang sudah pastinya akan menjadikan Labuan sibuk sepanjang tahun ini.

Berapakah hasil kutipan cukai 2019 dan jangkaan kutipan pada tahun 2020?
AMIR: Hasil kutipan cukai kadaran pada 2019 adalah lebih daripada RM13 juta manakala jangkaan kutipan tahun 2020 adalah sebanyak RM15 juta. PL yakin dapat mengutip jumlah cukai itu kerana pertumbuhan ekonomi Labuan yang semakin berkembang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas