Personaliti

Heroin Jabatan Audit, Nor Salwani kini bergelar ‘Datuk’

ISTIADAT pengurniaan pingat oleh Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sempena SHWP 2020 di Istana Melawati Putrajaya.
- Diterbit 3 Februari 2020 12:57 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pegawai Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad, penyimpan rekod mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Feb 2016, dianugerahkan gelaran ‘Datuk’ sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020).

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, itu adalah antara 25 penerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut menerima anugerah yang sama adalah rakan beliau, Datuk Johari Ismail; bekas Ketua Muslimat Pas, Jamilah Ibrahim dan seniman Dinsman atau nama sebenarnya Samsudin Che Osman.

Nor Salwani dianggap wira apabila berani menjadi saksi bagi membuktikan bekas Perdana Menteri mengarahkan agar pindaan dibuat ke atas laporan audit 1MDB.

Salwani memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil Jabatan Audit Negara tanpa pengetahuan Saadatul Nafisah sebelum mesyuarat bermula.

NOR SALWANI (kanan)

Saksi pendakwaan itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh mengetuai Istiadat Penganugerahan tersebut yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya, Sabtu lalu.

Ia turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas