Fokus

Putrajaya vibrant, bandar pintar

SALAH satu mercu tanda Putrajaya. - Gambar hiasan
- Diterbit 3 Februari 2020 10:01 AM MYT

PUTRAJAYA yang merupakan pusat pentadbiran Persekutuan kini menjadi vibrant city. Pelbagai aktiviti bertaraf dunia telah dianjurkan saban tahun. Presiden Perbadanan Putrajaya, DATUK AMINUDDIN HASSIM (gambar) berkata, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 sungguh signfikan kerana tahun ini warga Putrajaya turut merayakan sambutan Jubli Perak. Ikuti temubual beliau bersama Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD.

Apakah program-program menarik yang telah dirangka sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020?
AMINUDDIN: Hari Wilayah Persekutuan yang disambut setiap 1 Februari saban tahun merupakan tarikh penting kepada kita semua sebagai warga Wilayah Persekutuan bagi memperingati penubuhan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Tahun ini merupakan sambutan kali ke-16 yang dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan sejak tahun 2004. Kita masih kekalkan tema sama seperti tahun sebelum ini iaitu “Sayangi Wilayahku”.

Penganjuran SHWP 2020 akan terus memberi penekanan serta tumpuan kepada pengisian program dan aktiviti yang mempunyai elemen “kesejahteraan” kepada komuniti khususnya kepada warga Wilayah Persekutuan merangkumi lima kluster utama iaitu Kluster Pengiktirafan, Kluster Mesra Rakyat, Kluster Sukan Dan Rekreasi, Kluster Ilmiah Dan Kerohanian serta Kluster Inisiatif Mensejahterakan Rakyat. Antara program-program sempena Hari Wilayah Persekutuan Peringkat Putrajaya ialah Khutbah Khas SHWP pada 31 Januari ini pada Solat Jumaat di semua Masjid dan surau Jumaat.

Kita juga ada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2020 di Istana Melawati, Putrajaya bagi memberikan pengiktirafan ke atas individu yang menyumbang kepada kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan Wilayah Persekutuan. Antara program yang signifikan ialah Putrajaya Base Jump pada 1 dan 2 Februari ini. Acara yang julung-julung kali diadakan ini melibatkan seramai 32 penerjun profesional dari sembilan buah negara.

Mereka akan melakukan aksi terjunan dari ketinggian 40 tingkat bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Ia disertai penerjun Malaysia dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Estonia, Poland, United Kingdom, Rusia, Indonesia dan Jepun.

Ini mempunyai serampang dua mata iaitu sempena Hari Wilayah Persekutuan, Jubli Perak Putrajaya dan juga Tahun Melawat Malaysia 2020. Kita juga akan menganjurkan Putrajaya Wall Climbing Challenge pada 8 dann 9 Februari 2020 di Taman Cabaran bagi menonjolkan kegiatan sukan mendaki serta aktiviti gaya hidup sihat di kalangan komuniti Putrajaya.

Harap orang ramai datang ambil peluang. Sebanyak 40 peratus tanah di Putrajaya merupakan kawasan hijau dan taman-taman. Satu lagi ialah program yang ditunggu-tunggu, Pertandingan Memancing Putrajaya yang kita buka hanya setahun sekali dengan hadiah utama RM7,000. Seperti tahun lepas, ada lebih 1,500 pemancing akan berentap menaikkan lebih 50 spesies ikan yang ada di dalam Tasik Putrajaya.

Apakah perancangan PPj pada tahun ini?
AMINUDDIN: Pada tahun ini, Putrajaya akan menyambut Jubli Perak Putrajaya bersempena 25 tahun penubuhannya iaitu dari 1995 hingga 2020. Dalam menjayakan sambutan yang gilang-gemilang ini, pelbagai acara dan program ikonik telah digariskan oleh PPj bermula Januari ini sehingga sepanjang tahun.

Acara kemuncak sambutan ini adalah pada 29 Ogos ini di mana kapsul masa yang ditanam oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Ogos 1995 di Taman Putra Perdana akan dibuka. Dalam masa sama kapsul yang baharu akan ditanam dan bakal dibuka sewaktu sambutan Jubli Emas Putrajaya pada tahun 2045.

Keduanya, Smart City Putrajaya dengan memperluaskan jaringan CCTV bagi tujuan keselamatan dengan penambahan sebanyak 200 unit dan penambahan 50 panic button di sekitar kawasan Putrajaya serta jaringan fiber optic 60 kilometer di seluruh Putrajaya. Selain itu, kita juga akan membangunkan Integrated Operation Centre (IOC). PPj juga akan melaksanakan program-program inovasi dalam kalangan komuniti Putrajaya dan menaik taraf aplikasi mobile seperti virtual tourism dan cashless.

Projek perintis akan dilaksanakan di sekolah di Presint 8(2) dan Presint 9(1) dalam menggalakkan pelajar menggunakan cashless; Kerjasama juga akan dilakukan dengan TNB bagi menyediakan Smart Meter di Putrajaya. Selain itu, kita akan me
ngukuhkan program komuniti melalui Blueprint Masyarakat Sejahtera dan LA21 dengan sebanyak 104 aktiviti dalam pelan tindakan pelan induk berkenaan melibatkan enam bidang utama iaitu agama,sosial, pendidikan, fizikal, governans dan ekonomi. Insya-Allah di bawah bidang pendidikan kita akan bekerjsama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membina cawangannya di Putrajaya dikenali sebagai inisiatif Kampus Bandar UKM@ Putrajaya.

Kita juga merancang lebih 100 program berteraskan Sustainable Development Goals bersama Majlis Perwakilan Penduduk, komuniti dan agensi-agensi berkaitan di Putrajaya. Seterusnya, kita akan memperbanyakkan aktiviti komersial dengan membangunan perniagaan kiosk seperti di Dataran Putra, Presint 6, Dataran Wawasan, Presint 11. Pembangunan Medan Selera baharu di Presint 8 dijangka siap 2021.

Sementara itu dalam aspek pelancongan kita akan memposisikan Putrajaya sebagai salah satu eko tourism kluster di Malaysia melalui Pembangunan Urban Birding Putrajaya, Pelancaran buku Bird Haven Putrajaya dan pakej-pakej program urban birding Putrajaya. Kita juga wujudkan Smart Tourism antaranya pemerhatian burung-burung Putrajaya melalui CCTV khusus di serata dunia. PPj juga akan menaik taraf pengisian cycling dan walking trail di Putrajaya dan memperkenalkan perkhidmatan bas Ronda-Ronda Putrajaya untuk para pelancong.

Akhir sekali apakah harapan kepada warga Putrajaya?
AMINUDDIN: Saya ingin menyeru semua warga Wilayah Persekutuan tidak kira di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan untuk hadir dan bersama-sama menyertai setiap program yang dianjurkan.

Saya juga menyeru agar bendera Wilayah Persekutuan dapat dikibarkan oleh semua kementerian dan agensi, syarikat swasta, pejabat, kedai-kedai serta warga Wilayah Persekutuan bagi menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Semoga sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 ini dapat memupuk rasa cinta dan sayang serta kesyukuran kepada Wilayah Persekutuan seiring dengan tema “Sayangi Wilayahku” sekali gus memajukan lagi Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan bersama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas