Selebriti

Mas Idayu kini isteri Penerbit Eksekutif TV3

- Diterbit 16 September 2022 8:34 AM MYT

SETELAH 15 tahun hidup solo, penyanyi popular Mas Idayu kini sah bergelar isteri kepada Penerbit Eksekutif TV3, Muhamad Sufian Isa, 51, hanya dengan sekali lafaz.

Pasangan ini dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd. Hamid, berwalikan bapa pengantin perempuan, Mesnun Hassan, yang berlangsung di Quill City Mall, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.

Pada majlis tersebut, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM1,001, selain lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Mas Idayu yang lebih mesra dipanggil Mummy meluahkan rasa syukur dikurniakan suami yang sempurna di matanya.

“Alhamdulillah… Saya bersyukur kerana segala perancangan kami dipermudahkan dan terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan kami.

“Abang Pian ini kalau tengok muka memang garang, tetapi sebenarnya dia kelakar.
“Saya pula jenis suka lelaki kelakar dan pandai melawak, tetapi tidak pula bertemu jodoh dengan pelawak,” katanya berseloroh.

Pasangan itu saling mengenali sejak bekerjasama dalam program Mentor 3 pada 2008, namun mula menjalin hubungan serius pada tahun ini.

Sebelum ini, majlis menghantar tanda diadakan rumah keluarga penyanyi itu di Kota Tinggi, Johor, pada Mei lalu.

Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997, tetapi bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas