Selebriti

Masih anak dara… “Ramai ingat saya dah kahwin” – Ziema Din

|DULU dan sekarang... Berat badan Ziema Din naik mendadak disebabkan asma teruk yang dialami. Semoga Ziema cepat-cepat sembuh.||ZIEMA Din pernah beberapa kali dimasukkan ke wad disebabkan asma. |
- Diterbit 17 September 2022 10:57 PM MYT

PELAKON cantik Ziema Din mengaku ramai yang beranggapan dirinya sudah pun berkahwin apabila melihat kepada bentuk tubuh atau fizikalnya.

Pemilik nama sebenar Rozima Bidin,39, yang terkenal dengan watak Datin Mona menerusi drama bersiri Dendam Seorang Isteri itu akur berat badannnya yang naik mendadak menyebabkan peminat ‘melabelkannya’ sebagai isteri orang.

“Tidak dinafikan, tubuh saya yang agak plus size ini buat ramai ingat saya dah kahwin. Jujurnya, saya masih berstatus solo dan belum pernah berkahwin.

“Bila ramai cakap macam tu (sudah berkahwin), tak adalah saya marah atau terkilan. Saya okay saja.

“Saya faham, biasanya bentuk tubuh macam saya ni orang samakan dengan wanita yang sudah berumahtangga,” katanya.

DULU dan sekarang… Berat badan Ziema Din naik mendadak disebabkan asma teruk yang dialami. Semoga Ziema cepat-cepat sembuh.

Dalam masa yang sama, Ziema akui mungkin tidak ramai yang tahu situasi atau keadaan kesihatannnya.

“Dulu (sebelum masuk umur 30 tahun), badan saya kurus. Berat dalam 50 kilogram saja. Sekarang terlebih pula. Berapa tu, biarlah orang teka sendiri.

“Cuma apa yang saya boleh cakap, berat saya naik mendadak kerana kesan ubat-ubatan yang saya ambil kerana mengidap asma yang teruk.

“Sejak remaja lagi saya ada asma, cumanya bila umur dah masuk lebih 30 tahun, asma saya makin teruk.

“Alhamdulillah… Keadaan saya stabil tetapi perlu bergantung kepada ubat yang doktor berikan,” luahnya yang sering memuatnaik gambar atau status berkaitan kesihatannya dalam media sosial.

ZIEMA Din pernah beberapa kali dimasukkan ke wad disebabkan asma.

Ziema juga akui ramai yang menyarankan dirinya agar melakukan pembedahan bariatik agar berat badan dapat diturunkan dalam masa yang singkat.

“Saya tahu pembedahan bariatrik semakin menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat mahu pun selebriti bagi mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

“Apa-apa pun buat masa ini saya belum bersedia kerana saya ada asma. Ia agak bahaya kepada saya kalau lakukan pembedahan,” jelasnya yang turut berusaha untuk berpuasa, makan supplemen dan mengamalkan pemakanan sihat demi menurunkan berat badan.

“Kalau nak tahu, macam-macam dah saya buat untuk turunkan berat badan. Tapi nampaknya macam tak berhasil,” katanya berseloroh.

Tentang kerjaya, selain Dendam Seorang Isteri, Ziema juga dikenali menerusi filem Hantu kak Limah, 10 Tips Tipu Bini, Kerja Kahwin dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas