Berita

Malaysia sambut 1 Syawal esok

- Diterbit 9 April 2024 11:26 PM MYT

UMAT Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri pada esok, 10 April, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Rabu, 10 April 2024,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Keputusan menetapkan Hari Raya Puasa (Aidilfitri) 2024 bersamaan 1445 Hijrah adalah berdasarkan kedudukan bulan yang memenuhi kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakan) dan menurut hitungan falak, ijtimak (bulan baharu) Syawal.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Antara lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal adalah di Pontian Kecil, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor serta Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas