Berita

TBS sesak, orang ramai berpusu pulang ke kampung halaman

- Diterbit 9 April 2024 10:21 PM MYT

ORANG ramai dilihat berpusu-pusu meninggalkan bandar untuk balik ke kampung halaman di saat akhir sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Rata-rata penduduk sekitar Lembah Klang dilihat tidak sabar untuk berjumpa sanak-saudara di desa.

Tinjauan Wilayahku di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati orang ramai sibuk membeli tiket dan menunggu bas sebelum beredar untuk berjumpa keluarga di kampung halaman masing-masing.

Pelajar, Husna Zulkipli, 22, mahu meluangkan masa yang terluang untuk melepaskan rindu bersama keluarga tersayang.

“Tiada apa yang dapat diungkapkan daripada bertentang mata bersama keluarga tercinta pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Pada masa sama, bolehlah merehatkan minda serta tenaga seketika dengan kesibukan di bandar dan mencipta memori indah bersama keluarga di kampung,” katanya kepada Wilayahku hari ini.

Sementara itu, pekerja swasta, Syasya Liyana Rosli, 26, hari raya tidak akan bermakna tanpa keluarga di sisi.

“Menyambut perayaan bersama keluarga adalah lebih bermakna dapat bermaafan, kunjungi saudara-mara yang sudah lama tidak bertentang mata, itu adalah pengalaman yang tidak ternilai.

“Perasaan berhari raya adalah lebih seronok bersama dengan keluarga tercinta, suasana juga sangat meriah apabila dapat menyambut beramai-ramai,” jelasnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Syed Izzat Mubasyir Syed Mahbar, 26, bersederhana dalam menyediakan persiapan raya tahun ini.

“Cukuplah sekadar buat persiapan secara bersederhana itu adalah lebih indah dan bermakna.

“Apa yang penting juadah seperti lemang, rendang, serta kuih-muih juga dapat disediakan untuk dihidangkan,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas