Berita

Malaysia memerlukan 80,000 pekerja ladang getah

JOHARI ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya hari ini. Kredit foto: UKK Kementerian Perladangan & Komoditi
- Diterbit 4 Januari 2024 3:13 PM MYT

NEGARA ini memerlukan antara 70,000 ke 80,000 pekerja bagi menampung kekurangan sumber tenaga buruh dalam sektor perladangan getah, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Jelas beliau jumlah tersebut adalah untuk mengusahakan kira-kira 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah di negara ini yang tidak ditoreh.

“Saya pernah sebut dalam kenyataan sebelum ini ada 420,000 hektar ladang getah yang tak boleh toreh sebab tak ada pekerja. Ini adalah salah satu isu (yang perlu diselesaikan segera).

“Ada 420,000 hektar (tak dapat diusahakan), satu setengah hektar (ladang getah) memerlukan sekurang-kurangnya seorang pekerja, jadi mengambil kiraan itu, kita memerlukan antara 70,000 ke 80,000 pekerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu sebelum ini dilaporkan berkata, negara ‘kehilangan’ sebanyak RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rentetan sebanyak 420,000 hektar ladang-ladang pekebun kecil yang boleh menghasilkan 585,000 metrik tan susu getah setahun tidak ditoreh.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, Malaysia suatu ketika dahulu adalah antara pengeluar getah terbesar nombor satu di dunia dan kini turut mengimport komoditi itu.

Tambahnya, Malaysia sebelum ini pernah menghasilkan kira-kira 1.4 juta tan metrik getah mendahului Vietnam iaitu kira-kira 30,000 tan metrik.

“Sekarang Vietnam mengeluarkan kira-kira 1.4 juta tan metrik sedangkan kita memiliki 420,000 hektar ladang getah yang boleh diusahakan. Sebab itu kita kena cari jalan penyelesaian supaya ladang getah pekebun kecil ini dapat diusahakan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan import getah dari negara luar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas