Berita

Malaysia kecam sekerasnya pengeboman di Kerman, Iran

SETAKAT ini, tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi berkenaan.
- Diterbit 4 Januari 2024 3:23 PM MYT

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya pengeboman di kawasan Perkuburan Kerman di bandar Kerman, Iran yang meragut sekurang-kurangnya 95 nyawa dan ratusan cedera semalam.

Kementerian Luar Negeri berkata, Kerajaan Malaysia dengan tegas menolak sebarang tindakan ganas dan aktiviti keganasan dan menyeru agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera.

“Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini, serta kepada Kerajaan dan rakyat Iran.

“Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Rakyat Malaysia di Iran khususnya yang berada di bandar Kerman, dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Jelasnya, untuk sebarang bantuan, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran boleh berhubung di alamat No 25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb atau ditalian telefon +98 21 880724444 atau +98 21 88078606 serta emel [email protected] atau [email protected]. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas