Fokus

Berjaya pertahan kejuaraan dua tahun berturut-turut

DUA beradik, Nadzmar dan Shahdan berazam untuk memecahkan rekod yang dipegangnya dalam kejohanan sama tahun hadapan.
- Diterbit 10 Mei 2024 9:40 AM MYT

DUA beradik yang mewakili Persatuan Kanu Labuan dinobatkan sebagai juara untuk dua tahun berturut-turut selepas memenangi kejohanan itu pada LISC tahun 2023 lalu.

Lebih membanggakan, Nadzmar dan Shahdan Sukarno masing-masing berumur 29 dan 30 berjaya memecahkan rekod peribadi pada tahun lalu iaitu dengan catatan masa 5 jam 46 minit.

Dalam edisi penganjuran tahun ini, dua beradik itu berjaya menghabiskan sepanjang 51.2 kilometer (km) mengelilingi pulau dengan catatan masa 5 jam 46 minit sekaligus memecah rekod peribadi pada tahun lalu iaitu dengan catatan masa 5 jam 56 minit.

Menurut Nadzmar, kemenangan yang diperolehi itu merupakan idaman sepanjang menceburi bidang sukan ini dan berazam untuk lebih terus berjaya dan melakar lebih banyak kejuaraan pada masa hadapan.

Ujarnya, usaha dan fokus merupakan satu perkara yang sentiasa diterapkan dalam diri mereka setiap kali dalam latihan sebagai persediaan menghadapi sesuatu pertandingan.

“Alhamdulillah, kami berdua amat bersyukur dengan pencapaian ini dan berjaya mengekalkan gelaran juara dalam kategori ini yang kami perolehi pada LISC tahun lalu.

“Kejayaan ini tidak akan dapat kami capai jika tiada latihan, bimbingan daripada jurulatih Persatuan Kanu Labuan yang sentiasa memberikan latihan secara kerap untuk memastikan kami bersedia daripada segi mental dan fisikal,” katanya kepada WilayahKu, baru-baru ini.

Beliau turut mengakui sepanjang kejohanan itu pelbagai dugaan dan cabaran yang telah ditempuhi oleh mereka terutama ombak kuat dan sebagainya.

“Tidak dinafikan perjalanan panjang membuatkan acara ini memenatkan. Tetapi sudah menjadi adat dalam pertandingan, ada semangat serta dorongan untuk menang.

“Saya bersyukur kerana adik sentiasa memberi motivasi sepanjang pertandingan. Kami turut mengatur strategi dengan menjarakkan kedudukan daripada kelompok besar untuk berada pada kedudukan baik.

“Ia berhasil apabila kami berjaya memecahkan rekod dahulu dengan rekod masa baharu. Pentingnya, kami tidak boleh putus asa selain latihan mencukupi serta kesihatan pada tahap terbaik untuk menamatkan perlumbaan sejauh 140 kilometer,” katanya.

Tambah Nadzmar, beliau turut berharap berharap dapat menyertai acara sama dalam LISC untuk edisi tahun hadapan dengan tekad untuk memecahkan rekod peribadi yang dipegangnya kini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas