Berita

Malaysia antara negara terawal diberi kelulusan hantar bantuan – PM Anwar

- Diterbit 6 November 2023 4:37 AM MYT

MALAYSIA merupakan antara negara Islam terawal diberi kebenaran untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin melaui pintu sempadan Mesir.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau telah bercakap dengan Presiden Mesir, Abdel Fatah Al-Sisi berhubung persiapan Malaysia untuk menghantar bantuan.

“Usah jadikan isu (Palestin) ini politik. Jangan sesekali membina mahligai atas pusara pusara. Jadi ini ingatan kepada semua buat kerja cari derma cari bantuan.

“Kerja saya bercakap dengan Al-Sisi, percepatkan (bantuan). Malaysia antara negara paling cepat dapat kelulusan pendaratan pesawat bantuan ke Mesir dan seterusnya ke sempadan Rafah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Sabtu lalu pesawat kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan awal peringkat pertama sumbangan ke Palestin menerusi Ops Ihsan, selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish.

Pesawat yang disewa khas Kerajaan Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, tiba di sini kira-kira 8.50 pagi (12.50 tengah hari waktu Malaysia). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas