Berita

MAIWP pergiat salur bantuan, lima asnaf terima bantuan pertanian dan perikanan

- Diterbit 8 Jun 2023 2:51 AM MYT

USAHA bagi membantu meningkatkan kehidupan golongan asnaf di pulau ini kearah lebih baik, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan terus mempergiatkan usaha itu dengan menyalurkan bantuan perikanan dan pertanian bernilai RM24,000 kepada lima orang asnaf.

Menurut Ketua Unit Pembangunan Asnaf MAIWP Labuan , Mohd Syukur Norfini, bantuan itu adalah salah satu usaha pihaknya bagi membantu para asnaf yang menceburi bidang itu dari segi peralatan pertanian dan perikanan.

” Bagi bantuan perikanan kali ini, MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM11,000 kepada tiga nelayan asnaf. Setiap seorang menerima bantuan tunai bernilai RM4,000 dan RM3,000.

” Manakala bagi bantuan pertanian, kita menyalurkan bantuan itu kepada dua orang petani asnaf yang mana masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM8,000 dan jumlah keseluruhan bagi bantuan ini MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM13,000,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan bantuan itu di Kampung Lubuk Temiang dan Kampung Sungai Lada, pada Rabu.

Beliau berkata, kedua- dua bantuan disalurkan bertujuan untuk membantu para asnaf di Wilayah Persekutuan yang ingin berdikari dengan menjalankan aktiviti perikanan dan pertanian dan menjadikan aktiviti tersebut sebagai punca pendapatan tetap mereka.

Terdahulu, MAIWP Labuan telah memperuntukkan sejumlah RM205,000 untuk kedua-dua skim bantuan itu sepanjang tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas