Berita

DBKL tambah baik Pelan Pengurusan Pokok berusia

- Diterbit 10 Mei 2024 7:40 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan kepada pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka akan siap pada Julai 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan kerja – kerja pemeriksaan pokok – pokok yang berusia lebih 30 tahun dan / atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter di sekitar Kuala Lumpur telah dilakukan oleh kontraktor yang dilantik sejak tahun 2019.

“Sehingga kini, sebanyak 175 pokok telah dikenal pasti berisiko tinggi di mana sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 147 pokok telah ditebang.

“Pemeriksaan berkala juga telah dilaksanakan oleh Arborist bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari lalu di mana 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” jelas DBKL dalam kenyataan tersebut.

DBKL berkata pihaknya menggunapakai Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL yang telah diterbitkan pada Januari 2019 di mana pelan ini dibuat dengan merujuk kepada pelbagai agensi.

Ia merujuk kepada Jabatan Landskap Negara, Persatuan Arborist Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

“Pokok berisiko merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang.

“Ia dikenal pasti melalui penggunaan resistograph, picus tomograph atau penilaian visual bagi mengesan kecacatan pada pokok seperti dahan atau akar yang rosak atau reput, struktur pokok yang condong atau tidak seimbang dan rekahan pada dahan dan pangkal pokok.

“Tindakan lanjut akan diambil sekiranya perlu seperti pemangkasan (pruning), crown reduction, selective pruning dan penebangan.

“Penilaian risiko pokok juga mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak. Sekiranya keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut akan dilakukan dan seterusnya tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan akan diambil seperti mana yang terkandung di dalam Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL,” jelasnya.

Pada 7 Mei lalu, telah berlaku kejadian pokok tumbang berhadapan Menara IMC Jalan Sultan Ismail sehingga mengorbankan satu nyawa dan seorang cedera akibat kejadian tersebut.

Merujuk kepada kejadian tersebut, DBKL berkata pokok yang tumbang berada di atas tanah persendirian dan penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah.

“Berdasarkan Pelan Pembangunan Landskap yang diluluskan pada tahun 2022, pokok ini berada dalam tanah persendirian dan dinyatakan untuk dikekalkan.

“Bagi mangsa-mangsa yang terlibat, DBKL akan membantu untuk memudahcara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan),” katanya.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa kerja-kerja pemantauan akan dijalankan secara berterusan terhadap pokok-pokok berisiko dengan mengambil kira soal keselamatan termasuk aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas