Berita

Lima suspek samun bersenjata ditahan

SAMUN RAMPASAN
ANTARA barang rampasan yang ditemukan di rumah suspek.
- Diterbit 1 Ogos 2019 3:04 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Lima lelaki yang terbabit dalam kegiatan ragut dan samun bersenjata seorang pemandu grab wanita baru-baru ini, ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Kesemua mereka yang berumur 24 hingga 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang susulan laporan polis yang dibuat mangsa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tiga orang suspek ditahan ketika sedang mencuci motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Salak Selatan Baru.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 0.4 gram, enam telefon bimbit, dua bilah parang, power bank, wang tunai RM1,500 serta beg silang dan barangan peribadi milik mangsa.

“Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah amphetamin dan methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 27 tahun memiliki rekod lampau orang dikehendaki berkaitan dadah, seorang lagi memiliki 10 rekod samun, curi motosikal dan dadah manakala dua lagi turut memiliki rekod lampau berkaitan curi motosikal dan dadah. Suspek berusia 24 tahun hanya positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohamed Mokhsein, kesemua suspek direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 (A) KK, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas