Berita

Harimau Malaya dan Kuala Lumpur

HARIMAU Malaya perlu dipelihara daripada kepupusan kerana haiwan itu menjadi lambang negara ini. - Gambar hiasan.
HARIMAU Malaya perlu dipelihara daripada kepupusan kerana haiwan itu menjadi lambang negara ini. - Gambar hiasan.
- Diterbit 1 Ogos 2019 4:53 PM MYT

Pada Isnin lalu, 29 Julai adalah Global Tiger Day atau Hari Harimau Sedunia yang disambut bagi menyebarkan kesedaran terhadap pemeliharaan hidupan liar bagi harimau. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi pihak kerajaan turut menyambutnya.

Di dalam kementerian itu terdapat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Mergastua turut bertanggungjawab terhadap hidupan liar di Semenanjung Malaysia termasuk Harimau Malaya.

Ibu pejabat Perhilitan terletak di Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan kementerian itu beroperasi dari Wisma Sumber Asli di Putrajaya, kedua-duanya di Wilayah Persekutuan.

Sekali imbas harimau tidak ada kena mengena dengan Wilayah Persekutuan, apatah lagi Kuala Lumpur yang merupakan bandar raya metropolitan, penuh dengan manusia, dan tidak mempunyai tempat bagi haiwan lebih-lebih lagi hidupan liar.

Tetapi di peringkat perlambangan rasmi, harimau digunakan pada bendera Putrajaya dan lambang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ia juga ada kaitan dengan jata negara yang memiliki dua ekor harimau.

Oleh kerana bendera Putrajaya menempatkan jata negara Persekutuan di tengah-tengahnya, maka sudah tentu dua ekor harimau itu ada padanya. DBKL pula menempatkan lambang kepala Harimau Malaya itu pada jata rasminya.

Pada waktu ini harimau hidup tidak ada di Wilayah Persekutuan, baik di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan sedangkan Harimau Malaya adalah haiwan kebangsaan negara. Ia juga bermaksud haiwan bagi Persekutuan Malaysia dan Wilayah Persekutuan.
Dari segi perlambangan, ada institusi-institusi besar negara yang turut mengambil Harimau Malaya sebagai lambang mereka.

Institusi yang paling terkenal menggunakan haiwan itu sebagai lambang mereka ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank). Malah warna korporat yang digunakan oleh syarikat itu, iaitu kuning dan hitam adalah juga warna harimau.

Sebagai bank paling utama negara, ia mempunyai ibu pejabat di Jalan Tun Perak, Pudu, Kuala Lumpur. Ia terletak di bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Mahkamah atau Court Hill.

Sempena Hari Harimau Sedunia itu, Maybank telah menganjurkan Pertandingan dan Pameran Seni My Tiger Values (Nilai-nilai Harimauku). Pameran diadakan sejak 9 Julai sehingga 31 Julai di Balai Seni Maybank di Menara Maybank. Majlis penyampaian hadiah dilakukan pada Hari Harimau Sedunia itu.

Institusi lain yang mengambil harimau sebagai lambang ialah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Filem Negara Malaysia dan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) tetapi mereka tidak mempunyai ibu pejabat di Wilayah Persekutuan.

Salah satu institusi yang pernah menggunakan harimau sebagai lambang ialah Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Malayan Railway yang mempunyai ibu pejabat warisan di Jalan Sultan Hishamuddin yang nama asalnya ialah Victoria Avenue.

Oleh kerana Harimau Malaya atau Malayan Tiger dikaitkan dengan Malaya, maka tidak hairanlah institusi berkaitan dengan Tanah Melayu gemar mengambil harimau sebagai lambang.

Jadi kalau Malayan Railways mempunyai lambang harimau, maka begitu juga dengan Malayan Airways yang merupakan syarikat penerbangan bagi Malaya selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
Lambangnya juga bertema warna kuning dan hitam turut dikenali sebagai Flying Tigers atau Harimau Terbang. Tetapi ketika ia ditubuhkan, ibu pejabatnya ditempatkan di Singapura.

Walaupun harimau dan perlambangannya itu berkait rapat dengan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, pentadbir kolonial British menjadikannya ikon bagi Malaya. Seperti mana Empayar British dilambangkan dengan singa, Malaya ditampilkan dengan harimau.

Pembentukan Malaya moden bermula dengan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri daripada Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dua identiti bagi FMS adalah menjadikan Kuala Lumpur, yang ketika itu adalah pusat pentadbiran Selangor sebagai ibu kota dan harimau sebagai lambang.
Di sinilah kaitannya antara Kuala Lumpur dan harimau menjadi identiti FMS, yang kemudian berkembang menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia.

Kalau United Kingdom mempunyai singa dan kuda bersumbu sebagai haiwan perlambangannya pada jata ne­garanya, maka FMS diberikan dua ekor harimau. Seekor harimau melompat turut dipaparkan pada bulatan putih di tengah-tengah bendera FMS yang berjalur merah, kuning dan hitam.

Pada masa ini harimau hidup yang paling hampir dengan Kuala Lumpur ialah di Zoo Negara, yang tidak terletak dalam Wilayah Persekutuan tetapi berada di Ulu Kelang, Selangor. Harimau yang diawet ada di Muzium Negara yang terletak di Kuala Lumpur.

Paling akhir, harimau liar yang dilaporkan dilihat paling hampir di Kuala Lumpur adalah di kawasan sekitar hutan berhampiran kawasan sekitar Genting Highlands dan Janda Baik beberapa tahun dulu. Ada seseorang mendakwa melihat seekor harimau sedang minum di sebuah lopak dan perkara ini dilaporkan dalam akhbar.
Tetapi dalam sejarah Kuala Lumpur, pada awal abad ke-20, ada dilaporkan bahawa para pekerja yang membersih hutan di kawasan Damansara ketakutan kerana terserempak hutan serta mendengar ngauman haiwan itu.

Ketika itu kawasan Damansara yang dianggap sebagai sebahagian daripada Kuala Lumpur sedang dimajukan untuk menjadi ladang getah.

Tentunya sebelum Kuala Lumpur diwujudkan, ia merupakan sebahagian daripada hutan hujan tropika yang merupakan juga habitat hidupan liar termasuk harimau.

Kawasan-kawasan di Kuala Lumpur kemudian dibersihkan untuk dijadikan lombong bijih timah dan ladang getah. Ia juga dijadikan penempatan manusia.
Kalau di Sungai Klang dan anak-anaknya mempunyai hidupan liar seperti buaya, maka berkemungkinan juga harimau turut ada di kawasan yang bakal dibina sebagai Kuala Lumpur.

Maka sememangnya wajar lambang DBKL turut mempunyai kepala Harimau Malaya bukan saja kerana Kuala Lumpur merupakan ibu kota persekutuan tetapi juga sebagai ingatan bahawa sebelum manusia berada di bandar raya ini, ia merupakan negeri dan habitat hidupan liar termasuk harimau yang berundur dan terkorban akibat kemaraan warga kota.

Putrajaya pula sebelum adanya ladang-ladang getah Prang Besar yang dimajukan selepas Perang Dunia Pertama, tetapi sebelum Perang Dunia Kedua adalah merupakan sebahagian hutan Ayer Hitam yang meliputi kawasan dari Kajang, Sepang sampai Puchong.

Hutan yang turut memiliki kawasan bakau ini merupakan kediaman bukan saja Orang Asli suku Temuan tetapi juga margastua. Maka tidak hairan kalau di sini ada pelanduk dan kijang, serta juga pemangsanya iaitu harimau.

Penulis pula yang membesar di Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1960-an hanya dapat melihat patung getah dan gambar harimau yang besar di stesen-stesen minyak Esso yang ada di sekitar kota ini. Esso, suatu jenama petrol antarabangsa mengambil harimau sebagai lambang produknya.

Rangkaian stesen minyak Esso bertukar menjadi Petron apabila berubah pemilik. Namun pemilik asal Esso iaitu ExxonMobil tetap berada di Kuala Lumpur dengan Menara ExxonMobil di Jalan Kia Peng dalam kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas