Berita

667 pelajar terima bantuan Biasiswa Sekolah Menengah 2019

BIASISWA
ZAIZALNIZAM menyerahkan beg sekolah dan baucer biasiswa kepada penerima pada Majlis Penyampaian Biasiswa Sekolah menengah 2019 di sini hari ini. - FOTO: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 1 Ogos 2019 12:27 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Seramai 667 orang pelajar terpilih dari seluruh sekolah menengah Wilayah Persekutuan akan mendapat manfaat dari bantuan Biasiswa Sekolah Menengah 2019 yang diberikan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun berkata, biasiswa tersebut diberikan kepada pelajar-pelajar dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5 dan mereka dipilih Jabatan pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ujar beliau, nilai keseluruhan biasiswa tersebut adalah RM946,360 dengan pecahan 393 pelajar yang berpotensi cemerlang dan 274 pelajar pula di bawah Skim Anak Angkat Pelajar Cemerlang.

“Kita berharap bantuan biasiswa yang diberikan ini mampu memberikan semangat juang yang lebih kepada para pelajar cemerlang.

“Selain itu, biasiswa ini dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan seterusnya membakar semangat anak-anak mereka agar lebih cemerlang,” katanya selepas Majlis Penyerahan ‘Biasiswa Sekolah Menengah 2019’ di sini hari ini.

Terdahulu, hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah YWP, Onn Abu Bakar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas