Berita

Lima lagi SJR di daerah Petaling Jaya mula Jumaat ini

- Diterbit 8 April 2020 10:23 AM MYT

PETALING JAYA – Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya akan melaksanakan penambahan sekatan jalan raya (SJR) bermula 12 tengah malam, 10 April ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua Pentadbiran Balai Polis Damansara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, setakat ini, SJR yang sedia ada adalah di kawasan KM 0.3 Lebuhraya Sprint Menghala Tol Damansara dan Persiaran Surian Pelangi Damansara kedua-dua arah.

Jelas beliau, penambahan SJR untuk PKP Fasa Kedua adalah Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara (MRT Mutiara Damansara) di kedua-dua arah

“Sementara itu, terdapat lima lokasi penutupan kekal (24 jam) di Jalan Laluan Ke Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara bermula tempoh yang sama iaitu Penchala Link Arah Damansara susur masuk ke Mutiara Damansara atau Damansara Perdana.

“Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) susur masuk ke Mutiara Damansara atau Damansara Perdana; LDP susur masuk ke Jalan PJU 8/8 Flora Damansara, susur keluar ke Jalan PJU 7/8 (IKEA) dan lampu isyarat Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana susur Penchala Link atau Kepong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, laluan alternatif keluar dari Kawasan Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara adalah dari Damansara Perdana ke Penchala Link melalui Jalan PJU 7/9 Mutiara Damansara (BHP) dan dari Damansara Perdana ke Persiaran Surian melalui Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara.

Tambah beliau, walaubagaimanapun, laluan ini masih boleh dilalui oleh kenderaan ambulan, bomba, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM akan meletakkan anggota bertugas secukupnya di setiap lokasi bagi mengawal keselamatan dan kelancaran. pihak polis IPD Petaling Jaya menyarankan kepada semua lapisan masyarakat agar bersama-sama mematuhi (PKP) dan bersabar dalam menghadapi kesulitan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tindakan yang diambil ini secara tidak langsung meletakkan keselamatan sebagai keutamaan pihak polis IPD Petaling Jaya,” ujarnya.

Disamping itu, tambah Nik Ezanee, penambahan SJR dan penutupan jalan adalah bertujuan untuk menghadkan perjalanan orang ramai agar mematuhi arahan PKP Fasa Kedua serta memutuskan rantaian wabak Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas