Berita

Sub kluster jangkitan Covid-19 dikesan di Rembau

SEKATAN jalan dilakukan di Lebuh Raya Utama-Selatan di Rembau oleh pasukan keselamatan bagi menguatkuasakan PKP.
- Diterbit 8 April 2020 11:32 AM MYT

PUTRAJAYA –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu sub kluster dikesan di Rembau, Negeri Sembilan membabitkan beberapa guru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat hari ni, 27 dikenal pasti positif Covid-19 dan dua darinya sedang dirawat di unit rawatan rapi.

Katanya, sub kluster ini berpunca dari kluster jemaah tabligh Seri Petaling dan mula dikesan dalam kalangan guru yang mengajar di sekolah rendah.

“Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan guru sekolah berkenaan yang turut menghadiri perhimpunan di Seri Petaling, Febuari lalu.

“Guru dan kakitangan yang dijangkiti terus merebakkan ke keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga tiga generasi jangkitan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penularan wabak itu terus berlaku walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)sedang berlangsung kerana ada yang ingkar dengan berkunjung ke rumah saudara mara.

“Ini menyebabkan beberapan kawasan mempunyi rekod Covid-19 iaitu di kawasan Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata masih terdapat individu bergejala yang tetap ingkar arahan PKP.

“Misalnya kes kematian 64 dan beberapa yang lain tetap berjalan ketika kuarantin hingga merentas dua negeri.

“Kita minta semua patuh pada PKP kerana khuatir rantaian ini tidak dapat diputuskan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas