Berita

Lesen bazar Ramadan Wilayah Persekutuan dibuka luas kepada peniaga

SHAHIDAN (tiga kiri) berkesempatan mengunjungi Program
- Diterbit 11 Februari 2022 3:22 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan membuka peluang sebaik mungkin kepada peniaga di Wilayah Persekutuan yang ingin berniaga bazar pada bulan Ramadan yang akan tiba bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menjual lesen kepada pihak ketiga.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, peluang tersebut akan diberikan kepada mereka yang serius untuk berniaga sekali gus dapat menggerakkan aktiviti ekonomi pasca COVID-19.

“Kita akan membuka peluang seluas-luasnya kepada mereka yang ingin berniaga dan jika kita berikan mereka lesen maka mereka kena berniaga dan tak boleh bagi pada orang lain untuk berniaga di situ,” ujar beliau sejurus Program Walkabout Agrobazar dan Karnival Food Truck Putrajaya pada Selasa lalu.

Tegas beliau, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang menjual lesen bazar tersebut untuk meraih keuntungan.

“Pemikiran yang boleh menjual lesen tersebut tiada lagi. Sesiapa yang buat sedemikian kita akan ambil tindakan segera. Kita nak orang yang betul-betul ingin berniaga sahaja,” ujar beliau.

Menyentuh tentang prosedur operasi standard (SOP) ketika penganjuran bazar kelak, KWP sentiasa mengikuti perkembangan kes COVID-19 dari semasa ke semasa untuk mengekang penularan wabak tersebut.

“Aktiviti ekonomi akan tetap dijalankan seperti biasa. Kita pula perlu jaga diri, jaga SOP dan cuba elakkan perjumpaan dalam kelompok yang besar bagi mengelakkan sebarang jangkitan,” ujar beliau.

Program yang dijalankan merupakan antara pengisian menarik sepanjang Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022 sekali gus membantu kelangsungan peniaga kecil yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Hadir sama, Timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Terdahulu, Karnival Agrobazar dan Food Truck Putrajaya dianjurkan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Februari menghimpunkan 100 peniaga jualan terus buah-buahan, tanaman kontan serta sayuran dari ladang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas