Utama

PPj catat dua sejarah dalam Malaysia Book Of Records

FADLUN (dua kanan) ketika menerima sijil penghargaan daripada wakil MBOR baru-baru ini.
- Diterbit 11 Februari 2022 3:35 AM MYT

BARU sahaja siap dibina sepenuhnya pada 5 Januari lalu, Tangga Putrajaya berjaya meraih dua pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sekali gus mencipta sejarahnya yang tersendiri.

Pengiktirafan sebagai The Longest Stairway In A Public Park dan Biggest Projection Mapping on Stairway menjadikan Putrajaya sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancong dengan keunikannya yang tersendiri.

Menurut Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penghargaan tersebut merupakan permulaan baik PPj bagi tahun 2022 untuk lebih komited membangunkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai destinasi pelancongan.

Alhamdulillah, saya mewakili warga PPj bangga apabila tangga ikonik Putrajaya berbentuk paksi lurus (axis) itu mendapat dua pengiktirafan yang besar hanya dalam tempoh yang singkat.

“Sejajar dengan usia 25 tahun Putrajaya, kita juga sedang merancang untuk mewujudkan beberapa prasarana bercorak pelancongan rekreasi dan aktiviti riadah yang akan diumumkan nanti.

“Matlamat utama kita memperkenalkan pusat pentadbiran ini yang penuh dengan keunikannya tersendiri bukan sahaja di seluruh negara bahkan ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut tentang kelebihan tangga tersebut, Fadlun berkata, selain memiliki 250 anak tangga dan berketinggian 30 meter serta memiliki jarak pendakian sejauh 200 meter, Tangga Putrajaya sesuai untuk dijadikan lokasi bersukan, beriadah dan rekreasi.

“Kelebihannya pengunjung dapat menikmati pemandangan indah Putrajaya dengan jarak yang lebih dekat dari atas puncak Taman Putra Perdana selain berfungsi sebagai salah satu akses masuk dan melengkapkan pembangunan Taman Putra Perdana,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi pengiktirafan Biggest Projection Mapping on Stairway dengan ukuran saiz 22M (W)x19M (H)x133M (D), ia adalah sinonim dengan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) yang sememangnya amat dinantikan.

“Penceritaan video yang dipaparkan adalah berkisar pencapaian serta kemajuan semasa Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Di samping persembahan video Keluarga Malaysia yang memaparkan keharmonian, toleransi dan kesepakatan masyarakat Malaysia sebagai suatu keluarga besar yang harus dibanggakan bersama,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Pemetaan Pencahayaan diadakan sebagai simbolik Majlis Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari setiap tahun yang turut disertai dengan Sambutan Bulan Pencahayaan Putrajaya 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas