Berita

Larangan penjualan liquor tidak jejas status KL sebagai World Class City

MINUMAN keras masih boleh didapati di premis-premis yang dibenarkan di Kuala Lumpur. MINUMAN keras masih boleh didapati di premis-premis yang dibenarkan di Kuala
- Diterbit 26 November 2021 3:00 AM MYT

LARANGAN penjualan liquor yang berkuat kuasa 1 November lalu tidak akan menjejaskan imej Kuala Lumpur yang akan diberikan status World Class City.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, dakwaan yang dilemparkan beberapa ahli parlimen pembangkang adalah kurang tepat kerana terdapat beberapa buah negara yang berstatus negara maju turut mengenakan sekatan terhadap penjualan liquor secara terbuka.

“Berdasarkan semakan kita, negara-negara maju membuat kawalan terhadap aktiviti penjualan liquor. Sebagai contoh Singapura mengeluarkan akta berkaitan kawalan penjualan liquor sejak 2015 lagi iaitu Liquor Control (Supply And Consumption – Declaration of Liquor Control Zones) Order 2015 yang mana penjualan liquor hanya dihadkan di kawasan Geylang dan Little India sahaja.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Kesatuan Eropah juga mengeluarkan European Action Plan To Reduce the Harmful Use of Alcohol 2012-2020 (EAPA) yang mana ia menggariskan lima aspek utama seperti yang pertama iaitu ‘menguatkuasakan peraturan ketersediaan alkohol’ serta yang keempat iaitu ‘menguatkuasakan larangan atau sekatan menyeluruh pada pengiklanan, penajaan dan promosi alkohol’.

“Berdasarkan dua contoh ini, jelas menunjukkan bahawa negara-negara maju membuat kawalan terhadap aktiviti yang berkaitan minuman keras,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 dalam Sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Shahidan berkata, walaupun pihaknya telah melarang penjualan liquor dan produk minuman keras secara terbuka di kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat cina, namun ia masih boleh didapati di premis-premis yang dibenarkan.

“Minuman tersebut masih boleh didapati di premis-premis yang dibenarkan seperti di pasar raya, pasar raya besar, kompleks perdagangan dan kompleks beli-belah.

“Kita juga benarkan penjualan liquor di Premis Khusus Menjual Minuman Keras berlesen yang beroperasi di Kuala Lumpur seperti pub, bar dan restoran yang dibenarkan menjualnya secara dine-in, dengan izin.

“Pengusaha atau pemilik premis-premis tersebut juga masih boleh memperoleh Lesen Minuman Keras (LMK) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengikut syarat yang telah kita tetapkan.

“Bagi Kedai Ubat Tradisional seperti Kedai Ubat Cina, penjualan liquor campuran dan liquor ‘pure’ dengan izin, yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan perubatan tradisional masih boleh dijual. Jadi saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan lagi,” katanya.

Jelas Shahidan, beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) turut menyokong tindakan DBKL yang mengawal selia penjualan minuman keras.

“Sebagai contoh, Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao melalui kenyataan media pada 28 November 2020 telah mengeluarkan penyataan yang menyokong kawal selia penjualan minuman keras.

“Selain itu, pada 15 November 2021 baru-baru ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan India telah menyampaikan memorandum kepada pejabat saya bahawa mereka menyokong tindakan DBKL ini yang mengawal selia penjualan minuman keras,” katanya.

Beliau juga telah mengadakan sesi libat urus berkaitan perkara ini bersama pemain industri termasuk pemilik kedai serbaneka dan mereka juga memahami hasrat yang dikenakan oleh Lembaga Perlesenan Eksais WPKL.

“Sesi libat urus juga melibatkan Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, termasuklah Yang Berhormat Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Setiawangsa, Kepong. Semua Yang Berhormat telah pun berjumpa dengan saya dan kita telah berbincang,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas