Berita

RM3.75 sehari bagi semua perkhidmatan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) memuji inisiatif dilaksanakan Prasarana bagi membantu usahawan kecil meningkatkan hasil jualan perniagaan. PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) memuji inisiatif dilaksanakan
- Diterbit 26 November 2021 3:05 AM MYT

PENGENALAN Pas Keluarga Malaysia oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diharap dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk beriadah dan mengunjungi lokasi tarikan di Lembah Klang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pas itu membolehkan seramai empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga cuma RM15.

Beliau berkata, perjalanan membabitkan pengangkutan awam termasuk LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Massa) dan monorel kendalian Rapid
KL dan BRT (Transit Aliran Bas).

“Ini bermakna setiap seorang dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan BRT di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.

“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat beli-belah atau tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya ketika melancarkan pas perjalanan tersebut di sini hari ini.

ISMAIL (tengah) bergambar selepas merasmikan Pas Keluarga Malaysia di KL Sentral baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Ismail Sabri juga berkata, kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan ketersambungan adalah penting bagi mobilasi Keluarga Malaysia.

“Pengangkutan awam juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting dalam menjayakan Keluarga Malaysia kerana selain menjadi alat penyatuan bangsa, ia juga menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana mulai Mac tahun depan yang dilaksanakan anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) yang membolehkan peniaga berniaga di sekitar lapan stesen LRT Laluan Kelana Jaya.

Stesen tersebut adalah Subang Alam, Alam Sutera, Putra Heights, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.

“Menerusi pakej ini, sejumlah 20 lot perniagaan, bersaiz 80 hingga 400 kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana secara cabutan lot,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan yang perinciannya akan dihebahkan oleh PRIDE dalam masa terdekat.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha indutri kecil dan sederhana untuk mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji inisiatif dilaksanakan Prasarana sejak COVID-19 dengan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu usahawan kecil meningkatkan hasil jualan perniagaan.

Antaranya dengan menggunakan platform media sosial kendalian mereka bagi mempromosikan produk peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk di hab-hab bas.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Prasarana atas tanggungjawab sosial korporat yang telah diberikan bagi membantu para peniaga menjana semula ekonomi mereka yang terkesan akibat pandemik,” katanya.

Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang terbaik serta menjaga kebajikan rakyat di bawah konsep Keluarga Malaysia. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas