Berita

Lanjut pengecualian sewa premis

KWP, PPj bincang pengecualian sewa premis.
- Diterbit 26 November 2021 2:30 AM MYT

SEMOGA ada khabar gembira untuk peniaga di Putrajaya berikutan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan inisiatif pengurangan sewa premis di sini.

Berkata mengenainya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberitahu, kementeriannya dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang berdiskusi mengenai inisiatif pengurangan sewa premis di Putrajaya.

Ujar beliau, keputusan mengenai perkara berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat susulan insentif pengecualian sewa premis dijangka tamat pada bulan depan.

“Kita akan lihat sama ada pengecualian itu akan diberikan secara penuh atau separuh. Ia akan diumumkan pada bulan depan,” katanya ketika ditemui selepas program turun padang ke pusat penjualan coklat di Souq Shoppe @ Dataran Putra, Presint 1, Jumaat lalu.

Menurut Shahidan, pihaknya memahami situasi dialami penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini, KWP menanggung kira-kira RM4.77 juta bagi inisiatif pengecualian sewa premis di Putrajaya yang mula dilaksanakan awal tahun ini.

Ujarnya, ia membabitkan sumbangan one-off RM500 kepada peniaga kecil di Putrajaya, pengecualian sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj), pengurangan 50 peratus sewa premis, pengecualian sewaan tapak kepada Penjaja Kecil Sementara Wilayah Bebas Berniaga dan pengecualian lesen peniaga kecil.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, PPj kini dalam usaha membangunkan semula kawasan perniagaan di Dataran Putra, Presint 1 sekali gus menarik pelawat dan pelancong.

Menurutnya, tumpuan utama akan diberikan terhadap elemen keceriaan dan tambahan ruang niaga sekali gus menampung keperluan pasaran.

“Buat masa ini, tarikan utama di kawasan ini adalah Souq Shoppe @ Dataran Putra iaitu pusat jualan coklat terbesar di Lembah Klang.

“Pembangunan semula kawasan ini dibangunkan menerusi kerjasama pihak swasta khusus memperkasakan pembangunan ekonomi di Putrajaya,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas