Selebriti

Lantunan vokal Islam memukau

KUMPULAN Raihan mempamerkan persembahan yang bertenaga.
KUMPULAN Raihan mempamerkan persembahan yang bertenaga.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:26 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSLAN

KONSERT PIIACUF 2019 berjaya membawa suatu dimensi baharu dengan membawa pengunjung menghayati hiburan alternatif yang dibenarkan dalam Islam.

Dalam masa sama, ia dilihat berupaya menjadi medan dakwah hiburan. Berlangsung di Dataran Perbadanan Putrajaya (PPJ), konsert yang diadakan bersempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 minggu lalu berjaya menyuntik mesej kerohanian dan Islamik melalui muzik.

Konsert yang menghimpunkan lebih 10,000 penonton itu berhasil mengembalikan kerinduan peminat terhadap irama nasyid dan lagu ketuhanan yang pernah berada di zaman kegemilangan suatu ketika dahulu.

Menampilkan artis tersohor tanah air seperti Zul Handy Black, Datuk Ramli Sarip, Raihan, UNIC, Mel Wings dan ramai lagi, ia merupakan medan penyatuan selebriti yang memiliki aura kehebatan tersendiri dan kekal menjadi pujaan ramai.

Biarpun kini industri hiburan diserikan dengan penyanyi serta anggota kumpulan nasyid bersilih ganti, namun kehebatan mereka beraksi di pentas tidak dapat dipertikaikan lagi. Ternyata keindahan muzik dan lagu-lagu indah memukau penonton.

Dimulakan dengan persembahan montaj ukiran pasir mengisahkan keharmonian tamadun Islam, konsert mega yang dihoskan oleh pengacara terkenal Fara Fauzana dan Fedtri Yahya kemudian menampilkan kumpulan nasyid yang tidak asing lagi iaitu UNIC.

Mempersembahkan lagu-lagu popular yang pernah menaikkan nama UNIC satu ketika seperti Hanya Tuhan Yang Tahu, rata-rata yang hadir terpegun dengan keindahan bait-bait lagu yang disampaikan. Penonton semakin selesa menyaksikan persembahan pentas dan enggan berganjak apabila menyaksikan kemunculan penyanyi-penyanyi rock yang sudah pun berhijrah seperti Zul Handy Black, Mel Wings dan Ijam Medicine.

Diselang-seli dengan keletah pengacara yang mencuit hati, konsert yang diangkat sebagai simbolik kepada penyatuan ini turut diwarnai dengan kemunculan persembahan daripada penyanyi antarabangsa dari Iran dan Maghribi.

Keindahan seni muzik dari segi rentak dan melodi negara Asia Barat itu di samping lagu kontemporari mereka menerbitkan rasa kedamaian yang sarat dengan mesej dakwah sekali gus berhasil mengajak penonton ke arah nilai-nilai murni.

Kemuncak konsert menampilkan legenda rock satu dalam sejuta iaitu Datuk Ramli Sarip atau lebih popular dengan panggilan Papa Rock. Kelunakan suara yang dimiliki mengundang sorakan peminat pada malam tersebut.

Menutup tirai persembahan, penyanyi 68 tahun itu membawakan lagu Nyanyian Serambi yang ternyata memberi kepuasan kepada semua. Teruja dengan sambutan yang diterima, penyanyi kelahiran Singapura itu berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberinya peluang.

Dakwah menerusi lagu

Jika ada pihak yang mengatakan Islam tidak membenarkan berhibur, pandangan tersebut dianggap kurang tepat memandangkan ramai ulama yang mengharuskan hal tersebut kerana ia adalah fitrah manusia.

Menurut penyanyi Zul Handy Black atau nama sebenarnya Nurzul Suphia’an Sa’ban, 44, sejak berhijrah beberapa tahun lalu, dia semakin rancak berdakwah melalui muzik dengan memperjuangkan konsep ketuhanan dan Islamik.

“Saya pernah bertanya dengan alim ulama tentang perkara ini, menurut mereka tiada salahnya lagu dan muzik dalam kehidupan seharian selagi mana ia patuh dan mengikut kehendak syariat yang sebenar.

“Apa sahaja profesion kita, dakwah mesti sentiasa berjalan dengan cara yang terbaik. Lirik serta lagu yang disampaikan seharusnya mengagungkan Tuhan bukan cinta sesama insan semata-mata,” ujarnya yang kini aktif dengan persembahan dakwah jalanan bersama As Salam Buskers.

Katanya lagi yang kini muncul dengan single terbaru berjudul Mencari Keredhaan, dia tetap menerima tawaran untuk membuat persembahan pentas mahupun berlakon namun terpaksa menolak andai tidak bersesuaian dengan imej barunya.

KUMPULAN nashid dari negara Turki turut membuat persembahan.
PERSEMBAHAN ‘ Papa Rock’ Datuk Ramli Sarip.
PERSEMBAHAN dari Zul Handy Black.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas