WK2

Kelangsungan kedaulatan Raja-Raja Melayu

YANG Dipertuan Agong sewaktu pemeriksaan barisan kehormat.
YANG Dipertuan Agong sewaktu pemeriksaan barisan kehormat.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:00 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto UNIT PHOTO JABATAN PENERANGAN

ISTIADAT Pertabalan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Selasa lepas mencatatkan satu lagi sejarah negara apabila ia melambangkan keteguhan institusi Raja Berperlembangaan sejak merdeka.

Seri Paduka yang ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong ke-16 di Istana Negara dan bertambah istimewanya ia juga jatuh pada hari keputeraan baginda yang ke-60 turut menyaksikan kelangsungan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang telah dipertahankan sejak berkurun lamanya.

Istiadat tersebut bukan sahaja disaksikan rakyat negara ini malah ke seluruh dunia berjaya mengangkat martabat tradisi diraja Melayu yang masih terus dipulihara. Pertabalan yang penuh gilang-gemilang yang penuh tradisi melayu itu mengangkat institusi diraja Melayu sebagai Ketua Tertinggi Negara seawal pukul 8 pagi dengan perbarisan kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan. Dengan langkah penuh segak, Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain pangkat diketuai Mejar Abdul Hafizi Abdul Halim.

Tepat pukul 10.45 pagi, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Ketibaan Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ manakala Tunku Azizah Maimunah Iskandariah anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading. Tradisi diraja turut dipamerkan melalui alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran diraja.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.

Keutuhan institusi Yang di-Pertuan Agong dapat disaksikan apabila istiadat pertabalan itu turut dihadiri Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar iaitu Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Istiadat turut dihadiri Yang Dipertua- Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri Kabinet selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada perwakilan Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menjunjung Islam

Sejajar dengan Yang di-Pertuan Agong menjadi Ketua Agama Islam, unsur penting Islam berjaya ditonjolkan apabila setelah Seri Paduka berdua bersemayam di singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela memohon perkenan untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium kitab suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda. Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Dr. Mahathir yang tampil ke hadapan singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan berkenaan.

Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu ‘Raja Bertabal’, diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana Negara.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas