Artikel

Sambal Karumba pelengkap hidangan

NASI sambal Karumba
NASI sambal Karumba
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:54 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

SETELAH jenuh berniaga di bawah pokok, Mohd. Kamarul Mohamed Ariffin, 36, kini lega apabila berpeluang berpindah ke medan selera yang terletak di Rasta, TTDI, Kuala Lumpur sejak empat tahun yang lalu.

Menurut pemuda ini, gerai yang diberi nama Karumba KL tersebut semakin mendapat sambutan sejak ia dibuka sehinggalah ke hari ini. Mengetengahkan nasi berlauk ringkas, ia menepati cita rasa golongan muda yang sukakan menu sederhana.

“Dari dahulu lagi saya lihat kebanyakan golongan muda di sekitar Kuala Lumpur memang gemarkan hidangan yang ringkas dan harga yang berpatutan. Mungkin juga ia disebabkan kos kehidupan yang tinggi membuatkan mereka memilih menu sebegitu.

“Prihatin dengan hal tersebut, saya bersama rakan kongsi mencipta menu yang dikenali sebagai sambal karumba yang mana tidak sah setiap hidangan di sini jika ia tidak dihidangkan bersama sambal tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah Nasi Karumba Ayam atau Daging serta Nasi Daging Salai yang didatangkan dengan telur mata, sambal belacan, ulam timun dan kubis serta kicap.

“Cuma Nasi Daging Garing Ayam Penyet tiada tambahan telur dan ulam. Setakat ini hanya menu berupa nasi yang ada memandangkan pihak pengurusan tidak menang tangan untuk mempelbagaikannya lagi.

“Kami masih dalam perancangan untuk menambah menu sampingan yang lain pada masa akan datang. Insya-Allah jika berkesempatan dalam masa terdekat kami akan menyajikan makanan panas yang lain,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang menu sambal Karumba tersebut, kata Kamarul, dia memperoleh idea untuk mencipta hidangan itu melalui laman YouTube. Ternyata percubaannya membuahkan hasil apabila rakan-rakan terdekat memuji keenakannya.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang mempunyai pengalaman berniaga makanan. Semuanya bermula secara suka-suka sahaja. Namun untuk kelangsungan hidup, saya bertekad untuk menjalankannya dengan lebih serius,” ujarnya.

Berkongsi kisah mengenai asal usul nama Karumba, menurut pemuda berasal dari Jerantut, Pahang ini, nama tersebut diambil bersempena kepulauan Karumba, Australia yang merupakan lokasi terawal bermulanya trak makanan (food truck).

Buka kedai sendiri Bercerita lanjut tentang impiannya, Kamarul berhasrat ingin duduk di bawah bumbung sendiri suatu hari nanti. Ia bagi memudahkan kerjanya untuk mempromosikan secara menyeluruh restoran miliknya itu.

“Saya sedang berusaha dengan lebih giat ke arah itu. Jika berjaya dicapai, saya akan menambah waktu operasi di samping pilihan menu yang pelbagai. Semuanya demi kepuasan hati pelanggan setia kami,” ujarnya.

Pun begitu, Karumba KL sudah pun menggunakan khidmat tempahan secara dalam talian seperti Food Panda dan Grab Food. Ia memudahkan pelanggan di sekitar Kuala Lumpur yang tidak berkesempatan ke gerai untuk menikmati hidangan istimewa.

“Ia adalah salah satu peningkatan dari segi perkhidmatan pelanggan kami. Dengan promosi yang hebat di samping kepuasaan hati pelanggan, tidak mustahil suatu hari nanti Karumba KL mampu bersaing dengan restoran ternama yang lain,” ujarnya.

NASI Lemak ikan kembung.
NASI Tahu Tempe.
GERAI Karumba yang terletak di medan selera di Rasta, TTDI.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas