Berita

Lanjut PKP elak kenaikan kes mendadak

PROSES saringan perlu dipertingkatkan bagi mengesan kemungkinan ada kes positif Covid-19.
- Diterbit 24 April 2020 10:45 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pelanjutan dua minggu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang fasa ketiga PKP, trend kes terbaharu lebih terkawal tanpa kenaikan mendadak.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan PKP sangat membantu KKM sama ada di lapangan atau di hospital bagi mengenal pasti, menyaring, mengasingkan dan merawat kes Covid-19.

“Pelanjutan PKP akan terus memberi ruang kepada kerajaan memerangi penularan Covid-19 ini secara habis-habisan, sebelum dapat dinilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan wabak ini.

“KKM akan meneruskan tindakan sedia ada serta menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di Malaysia melalui pendekatan tertumpu,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, segala tindakan memerangi pandemik ini menjadi lebib berkesan dengan bantuan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“PKPD di lapan kawasan berjaya mengesan 618 kes positif iaitu 10.9 peratus dari keseluruhan kes.

“Susulan itu, rakyat perlu patuh dengan PKP, sentiasa duduk rumah dan amalkan penjarakan sosial serta kebersihan,” katanya.

Malam tadi, Muhyiddin mengumumkan tambahan dua minggu lagi PKP bermula 29 April hingga 12 Mei depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas