Berita

Lihat, hidu dan rasa elak keracunan ketika Ramadan

- Diterbit 24 April 2020 11:16 AM MYT

PUTRAJAYA – Peniaga, pengendali dan penghantar makanan sepanjang  Ramadan ini diminta menjaga kebersihan diri selain patuh garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tahun lalu terdapat 16,583 kes keracunan berpunca dari pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 1,032 kes berlaku sepanjang Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan makanan semasa membeli atau menyediakan makanan untuk diri sendiri dan keluarga.

Tambah beliau, pihak yang terbabit dengan makanan ini juga perlu memastikan makanan yang disediakan kepada pengguna adalah selamat.

“Perlu juga amalkan penjarakan sosial ketika menghantar makanan.

“Kebersihanperlu ketika penyediaan makanan di rumah bagi mengelakkan keracunan.

“Amalkan konsep ‘Lihat, Hidu, dan Rasa’ semasa bulan Ramadan sebelum menikmati juadah berbuka dan bersahur, untuk memastikan makanan tersebut selamat dimakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas