Berita

121 pesakit Covid-19 berjaya pulih

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 24 April 2020 10:28 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah positif Covid-19 yang pulih semakin meningkat dengan terbaru sebanyak 121 kes pulih dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan penambahan itu, jumlah keseluruhan pesakit pulih mencecah 3,663 kes.

“Jumlah ini bersamaan 64.4 peratus dari keseluruhan kes malah bilangan yang pulih hari ini juga melebihi kes baharu,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat pukul  12 tengah hari tadi, terdapat 88 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 5,691 kes.

Dari bilangan itu, sebanyak 1,932 kes adalah aktif dan boleh berjangkit. Bagaimanapun, semua pesakit berkenaan sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada kes baharu itu, 13 darinya membabitkan kes inport dari luar negara yang pulang pulang ke negara ini manakala 75 kes lagi dalam penularan tempatan.

“41 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dan 18 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat satu penambahan kematian membabitkan lelaki warga tempatan berusia 61 tahun menjadikan jumlah keseluruhan 95 kes.

“Mangsa mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Mangsa juga mempunyai kontak rapat dengan kes 1,345 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Dia disahkan meninggal dunia jam 2.29 pagi tadi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas