Wawancara

‘Paling penting jangan malas’

- Diterbit 19 April 2024 12:48 PM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Izham Hashim terus menabur bakti membantu rakyat terutamanya di kawasan Pandan Indah.

Walau pelbagai cabaran mendatang namun tidak sedikit pun melunturkan semangat beliau untuk memberikan yang terbaik demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai ADUN Pandan Indah, Izham juga memikul tugas sebagai Exco Infrastruktur dan Pertanian Negri Selangor.

Kepada wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor dan jurufoto SHUAIB AYOB, Izham berkongsi pengalaman mahalnya sepanjang perkhidmatan.

 

Apakah antara cabaran getir yang dihadapi YB sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Pandan Indah?

Kalau kita perhatikan di Pandan Indah, lokasi ini banyak terdapat rumah kos rendah, berdekatan dengan ibu kota selain pengangkutan awam yang senang diakses.

Justeru itu, di sini merupakan destinasi pilihan warga kota kerana kemudahan-kemudahan tersebut. Oleh kerana itu, boleh dikatakan kepadatan penduduk adalah antara cabaran utama di sini namun dengan anggaran sekitar 80,000 pengundi yang hadir ketika Pilihan Raya Umum tempoh hari dan mungkin angkanya lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, apa yang perlu saya lakukan ialah mahu kesemua warga Pandan Indah mempunyai kehidupan yang selesa.

Fokus utama YB dalam membangunkan Pandan Indah?

Sudah tentu dengan masalah kepadatan penduduk di Pandan Indah ini, antara perkara yang saya fokuskan adalah infrastruktur antaranya soal pembaikan serta penyelenggaraan jalan raya kerana kita tahu jalan raya mana sahaja yang tak rosak jika digunakan setiap hari.

Justeru itu adalah penting untuk selenggara dengan baik demi memastikan pengguna berpuas hati.

Selain itu juga perbaiki perumahan kos rendah dengan menggantikan bumbung yang sudah bocor, cat balik flat-flat yang sudah usang serta kemudahan awam.

Ini antara elemen terpenting dalam memberikan kehidupan yang selesa buat warga Pandan Indah di samping meraih kepercayaan mereka.

Masalah kesesakan sering membelenggu penduduk, apakah inisiatif YB untuk mengatasinya?

Sebenarnya, antara penyelesaian terbaik masalah kesesakan lalu lintas ini ialah dengan menggunakan pengangkutan awam. Saya lihat, perkara ini dapat mengurangkan kebergantungan untuk membawa kenderaan sendiri.

Tambahan pula pengangkutan awam di kawasan ini sangat mudah untuk diakses, ada bas pengantara serta LRT dan MRT yang dekat dengan kawasan penduduk.

Justeru itu, saya amat menggalakkan untuk menggunakan perkhidmatan awam selain dapat mengoptimumkan kecerdasan serta kecergasan badan daripada menghadapi jem yang mengundang stres.

Apakah langkah yang diambil untuk membantu kerajaan membasmi miskin tegar?

Soal miskin tegar masa kini, kita tidak lagi boleh kata hanya berlaku di kawasan luar bandar, malah di kawasan bandar juga ramai yang tergolong dalam golongan itu.

Kalau di peringkat negeri, ada banyak dasar untuk membasmi atau mengurangkan jumlah purata miskin tegar ini, pelbagai program yang ditawarkan bagi membantu keperluan harian.

Dalam pada masa sama, selain bantuan kita memperkasakan mereka, beri mereka sesuatu yang lebih kekal. Antaranya seperti mengadakan program kemahiran untuk menambah pendapatan dan menyediakan program pendidikan kepada anak-anak mereka untuk mengubah nasib keluarga di masa hadapan.

Selain itu, saya bersama pasukan memberikan bantuan berterusan dengan menyediakan kira-kira 500 ke 1,000 pek barangan keperluan setiap bulan yang bernilai RM50 setiap pek untuk diagihkan sejak 2020.

Pada saya dua kaedah sahaja yang mampu mengubah nasib kita, iaitu dari segi pendidikan dan peluang pekerjaan. Paling penting jangan malas, kalau kita sendiri tidak mahu berubah mengubah nasib diri siapa lagi yang dapat membantu.

Umum sedia maklum, negara juga semakin menua, apakah inisiatif yang dilaksanakan YB dalam memastikan masa hadapan golongan warga emas terjamin?

Sebenarnya, dari segi penuaan masyarakat dan sesebuah negara ini, ia secara tidak langsung melambangkan kemajuan sesebuah negara tersebut. Kita lihat sendiri bila aspek kesihatan bagus, masyarakat juga berumur panjang.

Apa yang saya laksanakan, kita memastikan kemudahan untuk warga emas ini diselenggara dengan baik, berikan keperluan atau bantuan-bantuan yang diterima mereka. Kita jaga kebajikan dengan mengadakan banyak program kesihatan bersama warga emas di kawasan Pandan Indah antaranya saringan kesihatan secara berkala. Adalah lebih baik mencegah daripada merawat penyakit.

Sebelum ini YB memaklumkan pentingnya bidang pendidikan, apakah program yang telah dijayakan?

Anak-anak ialah masa hadapan negara. Bagi membentuk negara, perlu memberikan pendidikan serta kefahaman kemahiran yang terbaik buat anak-anak ini.

Kita juga ada menyumbangkan barangan keperluan persekolahan buat mereka yang tidak mampu, malah Kerajaan Negeri juga turut menyediakan kelas tuisyen.

Selain itu, program-program yang berteraskan modal insan juga perlu diteruskan bagi membentuk jati diri anak-anak muda ini supaya menjadi seorang pemimpin yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Bagaimana YB menyantuni penduduk kawasan Pandan Indah?

Antara perkara yang saya sentiasa ingatkan pada diri saya ialah saya bekerja untuk rakyat. Sehubungan dengan itu, keselesaan rakyat adalah keutamaan saya, dan disebabkan itu kita perlu mendengar segala keluhan masalah dan memberi solusi yang terbaik buat semua pihak.

Saya mempunyai pasukan yang akan mencari atau menolong mana-mana warga Pandan Indah yang memerlukan di samping memberi bantuan dari segi ilmu kemahiran untuk upskill diri supaya boleh menambah pendapatan mereka.

Selain itu, saya juga saling berhubung rapat dengan persatuan penduduk, ahli majlis, pemimpin masyarakat, ahli jawatankuasa masjid serta surau.

Ini adalah antara medium perhubungan yang mudah untuk kita mendengar keluhan rakyat, rintihan mereka. Kita adakan mesyuarat dan cuba cari titik jalan penyelesaian.

Tambahan lagi dengan dunia yang berkembang bersama teknologi yang lebih maju, sebagai YB, saya juga banyak memberikan info-info berguna di saluran-saluran media sosial di mana warga Pandan Indah boleh melihat segala perkembangan atau aktiviti saya bersama penduduk atau info berguna serta bantuan daripada kerajaan.

Apakah harapan YB buat warga Pandan Indah?

Tujuan saya jadi wakil rakyat untuk pastikan kehadiran saya memberikan sumbangan positif kepada kehidupan mereka.

Saya bukan berdiri di sini untuk menjadi masalah, saya mahu membantu meringankan beban. Semua yang saya lakukan ialah untuk kepentingan rakyat.

Suka untuk saya ingatkan sebagai pemimpin perlu mempunyai visi dan misi yang jelas di samping prihatin terhadap rakyat selain akhlak dan budi pekerti yang baik demi kesejahteraan semua pihak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas