Berita

Lamborghini hilang kawalan rempuh kereta

KEADAAN Lamborghini yang merempuh sebuah kenderaan sehingga terbalik di Jalan Tun Razak pagi tadi.
- Diterbit 8 September 2021 9:32 AM MYT

SEBUAH kenderaan mewah jenis Lamborghini telah merempuh sebuah kenderaan hingga terbalik di Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh pemandu hilang kawalan apabila terdapat deretan kereta berhenti akibat kesasakan lalu lintas di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Lamborghini yang dipandu oleh seorang lelaki berumur dalam lingkungan 42 tahun memandu dari arah KLIA, menghala ke Bulatan Pahang.

“Sampai di lokasi kejadian terdapat deretan kenderaan yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas, pemandu telah gagal mengawal kenderaan dan melanggar kenderaan jenis Proton Perdana berwarna kelabu yang dipandu oleh seorang wanita berumur 53 tahun sehingga kenderaannya terbalik.

“Kemudian melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya. Antara kenderaan yang terlibat ialah Mazda, Nissan Serena, Ford Ranger,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya kesemua pemandu kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut siasatan akan diteruskan sekiranya terdapat kenderaan lain yang turut terlibat.

“Kita telah menjalankan ujian alkohol serta ujian saringan air kencing terhadap pemandu kenderaan Lamborghini dan keputusannya adalah negatif.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain,” jelasnya. – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas