Berita

KWP, UM kerjasama basmi miskin tegar

DR Rohani Jani (lapan dari kanan), Dr Yusniza Kamarulzaman (enam dari kiri) dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Sosio Ekonomi KWP, Amarul Hafis Yahya (lima dari kiri) bergambar bersama 25 peserta Program Pembasmian Kemiskinan Keluarga Malaysia Fasa 1 di Perpustakaan 1 Wilayah, Lembah Pantai, baru-baru ini.
- Diterbit 17 Jun 2022 8:56 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dan rakan strategiknya, Universiti Malaya (UM) menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Keluarga Malaysia Fasa 1 komited membantu 150 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar keluar dari kemiskinan menjelang akhir tahun ini.

ROHANI

Pemangku Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Ungku
Aziz, Universiti Malaya, Profesor Dr Rohani Jani memaklumkan sasaran tersebut selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu membasmi kemiskinan tegar menyeluruh di Wilayah Persekutuan.

“Menurut data daripada e-Kasih, inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) mengenal pasti seramai 1,170 KIR produktif berumur antara 18 hingga 59 tahun yang akan dibantu dengan penerangan kursus serta program berkaitan.

“Daripada jumlah tersebut, 150 orang terpilih mengikuti Program Pembasmian Kemiskinan Keluarga Malaysia Fasa 1 bermula 15 Jun lalu di empat lokaliti terpilih iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Desa Rejang, Kampung Muhibbah dan Taman Mulia serta dua lokaliti di Labuan iaitu Kampung Sungai Bedaun dan Kampung Patau-Patau,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, hanya 25 peserta sahaja yang hadir menyertai sesi tersebut dan sebahagiannya pula akan dibawa pada sesi seterusnya.

Mengulas tentang program tersebut, kesemua peserta terlibat yang merupakan usahawan kecil diberi penerangan kursus asas perniagaan, pemasaran dan penjenamaan produk yang meliputi strategi, kaedah dan cara perniagaan secara atas talian menerusi Facebook, Instagram dan sebagainya.

“Mereka terlibat dalam bidang masakan, jahitan, urutan, pembuatan roti dan lain-lain namun ada dalam kalangan mereka masih tidak diberi pendedahan dan tidak tahu bagaimana cara untuk menjalankan perniagaan online,” ujar beliau ketika ditemui pada Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia Fasa 1 di Perpustakaan 1 Wilayah, Lembah Pantai, Jalan Kerinchi, pada Rabu.

Kata beliau, sepanjang program tersebut, Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Profesor Dr Yusniza Kamarulzaman telah berkongsi teknik asas pemasaran digital, penjenamaan produk serta kuasa viral dengan menggunakan platform e-dagang bagi memperluaskan rangkaian perniagaan mereka sekali gus meningkatkan pendapatan melalui ruang pasaran digital.

“Program tersebut juga merupakan rancangan KWP, UM serta beberapa rakan strategik lain dalam tempoh dua tahun selain pemantauan berterusan terhadap prestasi peserta akan dilakukan bagi melihat keberkesanan program.

“Dalam tempoh enam bulan, mereka akan dipantau dan sekiranya kami melihat sudah ada perkembangan dari segi kebolehcapaian pemasaran dan kestabilan pendapatan sekeluarga barulah kami akan lepaskan untuk berdiri sendiri,” kata beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas