Berita

KWP tidak halang siasatan SPRM

SHAHIDAN (dua dari kanan) beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi DBKL selepas Majlis Makan Malam Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur di Taman Botani Perdana pada Selasa.
- Diterbit 17 Jun 2022 5:00 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) terbuka sekiranya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menyiasat jika terdapat unsur rasuah dalam pengambilalihan tanah penduduk Kampung Sungai Baru.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk menyiasat dan mencabar isu berkaitan pewartaan dan pengambilan tanah itu sehingga ia diselesaikan mengikut proses yang dibenarkan.

“Pewartaan itu berlaku pada tahun 2020, bukan sekarang dan saya yang minta ditangguhkan untuk membolehkan mereka selesaikan masalah.

“Sekiranya kita tidak dapat menyelesaikan masalah, kita kena ikut proses undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Jubli Emas Kuala Lumpur di Taman Botani Perdana pada Selasa.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang mahu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa wujud unsur rasuah dalam projek itu, Shahidan berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dan bersifat terbuka sekiranya mempunyai bukti.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru pada Ahad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menghentikan tindakan pemaju untuk mengambil tanah bagi tujuan pembangunan semula.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya telah menubuhkan dua buah jawatankuasa di peringkat kementerian yang dipengerusikannya sendiri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan untuk meneliti dan menyelesaikan masalah banjir kilat serta kesesakan trafik di ibu kota.

“Untuk Jawatankuasa Banjir Kilat, saya yang mempengerusikan
dan kita telah gariskan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di ibu kota.

“Datuk Seri Jalaluddin pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Task Force Kesesakan Lalu Lintas,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, task force itu akan dianggotai 11 agensi luar termasuklah polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mencari penyelesaian tuntas mengenai kesesakan yang berlaku di ibu kota.

“Mesyuarat pertama akan dilaksanakan pada 21 Jun ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Jabatan Pengangkutan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjadi urus setia untuk jawatankuasa ini,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas