Berita

Analisa pengambilan tanah diperingkat akhir- Shahidan

PIHAKNYA telah memberi tempoh yang panjang kepada 37 pemilik rumah teres untuk berunding
- Diterbit 17 Jun 2022 3:45 PM MYT

PENGAMBILAN tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini sedang dalam peringkat akhir analisa dan keputusan mengenainya akan diselesaikan serta merta dan tidak akan ditangguhkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya telah memberi tempoh yang panjang kepada 37 pemilik rumah teres untuk berunding dengan pemaju namun masih temui jalan buntu.

“Isu itu telah dibawa lama dan pengambilan tanah yang sepatutnya dibuat pada Disember lalu dan saya minta proses itu ditangguhkan sekejap.

“Dari segi peraturan undang-undang, saya tak boleh berbuat demikian dan ia di buat bertujuan memberi ruang perbincangan diantara kedua-dua belah pihak,” katanya menerusi sesi Live Facebook hari ini.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata, jika tuntutan penduduk yang mahu membatalkan pengambilan tanah, ia mesti membabitkan semua pemilik termasuk 291 penduduk yang telah bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh pemaju.

“Ia turut melibatkan proses undang-undang termasuklah penduduk rumah pangsa yang sudah berpindah empat tahun lalu.

“Kemana mereka yang telah kosongkan rumah ini akan dipindahkan, mereka tak boleh pindah ke rumah lama kerana rumah lama telah rosak

“(Kerajaan) kena juga bayar ganti rugi kepada pemaju dan ia melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Justeru itu, penyelesaian diantara kedua-dua pihak akan dilaksanakan serta merta dan menyerahkan kepada undang-undang untuk menentukan.

Terdahulu Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB) dalam sidang media pada Selasa memohon Shahidan untuk menyelesaikan isu pembangunan semula kawasan itu yang telah berlarutan selama enam tahun bagi membolehkan projek tersebut dimulakan sekali gus merealisasikan hasrat mereka berpindah ke rumah baharu. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas