Berita

KWP tubuh jawatankuasa khas tangani masalah mental

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin Rawatan Risiko Rendah (PKRCS) Megaklinik Zahran, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.
- Diterbit 14 September 2021 2:58 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan gelandangan di ibu kota.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, jawatankuasa khas itu akan meneliti dan mewujudkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) pelan berkenaan

“Saya menerima banyak laporan, selain mereka yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan dan isu sosial lain. Ada kalangan gelandangan terancam dengan penyakit mental akibat tekanan disebabkan pandemik COVID-19.

“Saya sudah minta sebuah jawatankuasa khas untuk membincangkan bagaimana mengatasi masalah ini, mewujudkan garis panduan serta SOP bagi membantu golongan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin Rawatan Risiko Rendah (PKRCS) Megaklinik Zahran, Hotel Royale Chulan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Megaklinik Zahran, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak dan Pengurus Besar Hotel Royale Chulan, Badrul Rezal Baharuddin.

Menurut Jalaluddin, pihaknya sudah mengesan antara 45 hingga 50 kes membabitkan masalah itu dan turut menjangkakan jumlah itu akan bertambah jika ia tidak dibendung segera.

“Jawatankuasa khas ini sudah bermesyuarat tadi dan saya sudah meminta supaya satu laporan terperinci dibentangkan.

“Hasil laporan itu kelak diharap dapat memudahkan pelaksanaan kita dalam menangani masalah ini,” katanya.

Jalaluddin berkata, KWP akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk pakar kesihatan mental agar masalah tersebut dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut berpuas hati dengan fasiliti yang di sediakan di PKRC ini dan pihaknya turut menyatakan kesediaan untuk meluluskan permohonan PKRC ini untuk memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 yang berada pada tahap 3 dan 4.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas