Berita

Pembangunan Kampung Baru melalui pendekatan organik

- Diterbit 14 September 2021 7:41 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan akan meneruskan perancangan pembangunan Kampung Baru melalui pendekatan organik dan berfasa mengikut blok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pendekatan itu berkeupayaan untuk meneruskan progam pembangunan itu dan kini mempunyai 44 blok pembangunan yang telah dikenalpasti.

“Kerajaan tidak akan terlibat dalam pembelian tanah secara keseluruhan. Sebaliknya, pembangunan Kampung Baru adalah secara usaha sama antara pemaju dan pemilik tanah atau petak, mengikut blok-blok pembangunan tersebut.

“Selaras dengan pendekatan baru ini juga, peruntukan Kerajaan hanya akan digunakan bagi pembangunan infrastruktur melalui penaiktarafan jalan-jalan utama dan akses keluar masuk Kampung Baru yang menjadi pemangkin kepada pembangunan semula Kampung Baru.

“Nilai hartanah yang ditawarkan kepada pemilik tanah bergantung kepada mekanisme pembangunan yang akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad semasa sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas di sini hari ini.

Menurut Shahidan, melalui pendekatan baharu tersebut, pihaknya akan membangunkan Kampung Baru mengikut tiga fasa pembangunan.

“Pembangunan jangka pendek adalah dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2021 hingga 2025 yang mana ia melibatkan cadangan Pembangunan Semula Kawasan Sungai Baru; Pembangunan semula kawasan Flat PKNS Jalan Tun Razak; Pembangunan Infrastruktur yang melibatkan cadangan Pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda Kampong Bharu, Kuala Lumpur; Cadangan sambungan DUKE 2A dari Jalan Kuching ke Kampong Bharu di Jalan Raja Muda Abdul Aziz; Cadangan pembinaan akses keluar masuk lebuhraya AKLEH di Sungai Baru; dan Pembangunan tapak klinik kesihatan dengan pembangunan yang lebih ekonomik.

“Pembangunan jangka sederhana melibatkan tempoh masa 10 tahun dari tahun 2025 hingga 2034 dan ditumpukan kepada pembangunan kediaman yang kompetitif di Kampong Periok ;dan pembangunan blok yang berpotensi di Kampong Pindah.

“Pembangunan jangka panjang pula melibatkan tempoh masa 20 tahun iaitu dari tahun 2021 hingga 2040 bagi mempromosikan dan membangunkan blok-blok pembangunan yang berpotensi dari semasa ke semasa bergantung kepada kesediaan pemaju,” katanya.

Shahidan berkata, mengenai peruntukan pembangunan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2)Rancangan Malaysia (RMKe)-12 sebanyak RM148 juta iaitu untuk perolehan tanah Kampong Pindah sebanyak RM100 juta (premium tanah); dan peruntukan RM48 juta untuk pengambilan tanah bagi pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda, Kampong Bharu, Kuala Lumpur dan masih menunggu kelulusan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas