Berita

KWP mahu kebun komuniti ditambah

ROSIDA (kanan) menuai cendawan kelabu yang turut ditanam di kebun komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai selepas merasmikan Program Titian Kasih Hijau Wilayah Persekutuan pada Sabtu.
- Diterbit 4 November 2022 3:37 AM MYT

INISIATIF kebun komuniti yang diusahakan secara bergotongroyong di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai menjadikan ia umpama ‘syurga’ kepada penduduk di sini.

Kebun organik seluas hampir empat ekar itu yang turut menempatkan taman herba hasil usaha bersama penduduk dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Local Agenda (LA) 21 bertujuan memperkasa komuniti bandar khususnya penduduk PPR dan Perumahan Awam (PA) dalam pertanian dengan memanfaatkan tanah lapang yang boleh diguna sama.

Bercakap mengenai perkara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar berkata inisiatif KWP untuk melibatkan komuniti bandar dengan aktiviti pertanian melalui kebun kominiti.

“KWP mahu membangunkan kebun komuniti secara tersusun, sistematik, organik dan mampan di samping menggalakkan komuniti setempat untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pertanian bandar.

“Usaha ini juga adalah untuk mengekalkan kehijauan alam sekitar sekali gus menjana sumber makanan alternatif serta mengurangkan kos sara hidup komuniti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Program Titipan Kasih Wilayah Persekutuan Hijau di Kebun Komuniti PPR Raya Permai pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi, L.Ar Zulkifli Endut.

20 sukarelawan belia Eco Ranger LA 21 Kuala Lumpur yang bakal menjadi pelapis dalam mengusahakan Kebun Komuniti menerima sijil penghargaan masingmasing.

Menurut Rosida, pihaknya sentiasa memastikan kesinambungan Projek Pertanian Bandar di Wilayah Persekutuan diteruskan dengan penambahbaikan kepada pertanian moden yang dapat menjana hasil yang lebih baik.

“Ia bertujuan dapat dimanfaatkan oleh warga Wilayah Persekutuan untuk menjana pendapatan serta mengurangkan kos sara hidup dalam pusat bandar.

“Selain itu seperti yang kita dapat lihat, ramai penduduk di sini adalah warga emas, jadi generasi muda akan memastikan kesinambungan kebun ini,” katanya.

Tambahnya, selain membekalkan udara segar kepada penduduk kebun ini juga membantu meringankan kos sara hidup penduduk yang menuai sayur-sayuran serta buah-buahan.

“Kami akan terus menyokong kebun komuniti ini kerana ia selaras inisiatif Kuala Lumpur Bandar Bebas Karbon,” katanya.

Rosida berkata KWP telah menyerahkan kira-kira 1,200 kit penanaman cendawan untuk mempelbagaikan lagi jenis tanaman penduduk.

“Kit penanaman cendawan tiram kelabu dibekalkan bagi melibatkan penduduk pelbagai peringkat umur untuk terbabit secara aktif dalam menjaga kebun komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Rosida berkata seramai 20 sukarelawan belia Eco Ranger LA 21 Kuala Lumpur bakal menjadi pelapis dalam mengusahakan Kebun Komuniti di Kuala Lumpur.

“Penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat seperti ini juga dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gelaja yang kurang sihat,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas