Fokus

Malaysia negara kedua paling tinggi obesiti

guest's hand takes a snack from a jar during a visit to celebrate Eid at a friend's house
- Diterbit 19 April 2024 4:55 PM MYT

DALAM keghairahan berhari raya dan mengunjungi rumah terbuka, ramai yang rambang mata melihat juadah enak sehingga alpa seketika rutin diet yang dilakukan sebelum ini.

Namun, perlu diingat makanlah secara berpada-pada, jangan jadikan Aidilfitri sebagai tiket untuk balas dendam makan berlebihan daripada biasa. Bukan apa, ditakuti banyak pula penyakit yang menyerang nanti, jaga-jaga badan boleh naik lepas raya paling ditakuti jika sampai ke tahap obesiti.

Penyakit yang tidak berjangkit (NCD) ini merupakan salah satu daripada cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia. Tanpa sedar, baru-baru ini menerusi dapatan kajian terkini oleh The World Factbook-Central Intellage Agencie dari 2016 hingga 2024, negara Malaysia telahpun merekodkan negara kedua paling tinggi obes atau berat badan berlebihan di Asia Tenggara dengan kadar peratusan 19.7%.

Rekod ini juga turut menyaksikan peratusan kadar obesiti dalam kalangan penduduk Asia Tenggara meliputi 10 negara lain iaitu Brunei (28.2 %) di mana ia merekodkan negara tertinggi obes selain Singapura (11.6%), Thailand (11.6%), Filipina (9.3%), Indonesia (6.9%), Myanmar (5.8%), Laos (5.6%), Cambodia (3.8%), Vietnam (1.7%) dan Timor-Leste (1.1%).

Berdasarkan rekod tersebut, peratusan berkenaan mentakrifkan masyarakat di negara tersebut mempunyai ukuran kasar Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30 kilogram (kg).

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penyakit obesiti, Residen Doktor di Klinik Hello Doktor Bukit Jelutong, Dr Alia Zafira Zaferi berkata obesiti kini menjadi salah satu penyumbang utama kepada masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat dunia termasuklah di Malaysia.

“Ramai rakyat Malaysia tidak menganggap obesiti atau kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak berlebihan sebagai penyakit meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikannya sebagai penyakit kronik dan epidemik.

“Daripada luaran, obesiti ini kebiasaannya dilihat sebagai masalah kegemukan atau terlebih berat badan tetapi ia lebih jelas dimaksudkan dengan keadaan tubuh badan seseorang yang mempunyai lemak berlebihan atau tidak normal,” ujarnya.

Tambah beliau, seseorang itu boleh diklasifikasikan sebagai pesakit obesiti apabila merekodkan kadar nilai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30.

“Jika BMI kurang daripada 20, ia dianggap tidak cukup berat manakala 20 hingga 25 adalah dianggap ideal. Namun, jika BMI seseorang itu di antara 25 hingga 30 dalam kategori terlebih berat, 30 ke atas itu telahpun dianggap obes dan 40 ke atas diistilahkan morbid obesity atau obesiti yang amat bahaya.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu boleh menghidapi obesiti iaitu pertama adalah disebabkan faktor umur. Semakin meningkat umur seseorang itu, semakin menurunlah kadar metabolisma dalam badan.

“Kedua, adalah disebabkan faktor genetik atau keturunan. Ketiga pula adalah gaya hidup atau lifestyle seseorang itu juga memainkan peranan di mana kalau makanan tidak jaga, kurang bersenam, seseorang itu mungkin cenderung untuk mendapatkan obesiti.

“Seterusnya, faktor psikologi juga menjadi penyumbang kepada punca obesiti di mana jika seseorang itu mengalami tekanan perasaan disebabkan tekanan tempat kerja, putus cinta dan sebagainya, risiko untuk mendapatkan obesiti itu lebih mudah namun ada juga orang obes disebabkan penyakit seperti tumor di bahagian otak kerana makan berlebihan,” katanya.

Daripada faktor tersebut, Dr Alia memberitahu masalah kesihatan obesiti ini memberi kesan kepada golongan lelaki dan perempuan dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak namun golongan wanita adalah lebih cenderung untuk menerima penyakit obesiti ini.

“Semua orang tidak kira tua atau muda memang ada potensi untuk kena obesiti. Ini juga boleh dibuktikan menerusi laporan WHO pada tahun 2016, lebih daripada 1.9 bilion individu yang berumur 18 tahun ke atas di seluruh dunia diklasifikasikan sebagai individu berlebihan berat badan.

“Daripada jumlah ini, 11% ialah kaum lelaki manakala 15% daripada kaum wanita. Walau bagaimanapun, di dunia, kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih tinggi kerana ia boleh dilihat melalui aspek pemakanan yang sangat tidak bagus,” katanya.

Jika individu itu dikategorikan sebagai obes, ia cenderung untuk mendapat pelbagai komplikasi dalam badan sekali gus memberi risiko terhadap kesihatan mereka. Risiko paling utama adalah penyakit jantung kerana mereka yang obes biasanya mempunyai tekanan darah yang lebih tinggi.

“Risiko penyakit ini paling membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan kematian disebabkan tahap kolesterol yang tinggi dalam salur darah mereka.

“Selain itu, pesakit obes juga lebih mudah terkena penyakit strok dan diabetes di mana mereka perlu menggunakan insulin untuk mengawal paras gula darah selain mereka juga berisiko untuk dijangkiti kanser seperti kanser uterus, serviks, ovari, payudara dan lain-lain,” jelasnya.

Untuk rekod, Dr Alia berkata negara pernah mencatatkan kematian disebabkan obesiti dan punca utama adalah penyakit jantung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas