Agama

Kursus taranum tarik minat tingkatkan bacaan al-Quran

ANTARA peserta kursus teknik suara bacaan al-
- Diterbit 26 September 2019 10:27 AM MYT

Oleh SALEKI AMAT JANURI

PUTRAJAYA – Kursus teknik suara bacaan al-Quran dan taranum anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Putrajaya di Surau Jumaat Al-Iman, Presint 9 baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada jawatankuasa wakil-wakil surau.

Kursus teknik suara bacaan al-Quran dan taranum itu dikendalikan dua orang panel penceramah iaitu Ustaz Hassan Al-Fadhil Abdul Rahman dan Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Jawi, Muhammad Zakuwa Radzali, selain meningkatkan kemahiran bacaan, peserta dapat mengukur sejauh mana kebolehan mereka dalam menyampaikan bacaan khususnya dalam bacaan solat dan laungan azan.

“Kursus ini bukan terhenti setakat ini sahaja bahkan ia akan diadakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan perancangan agar ia dapat memberikan manfaat kepada jawatankuasa kariah surau dan masyarakat Islam di Putrajaya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kursus tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata peserta melahirkan rasa puas hati kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran bacaan khususnya dalam memimpin solat dan azan.

Wakil Surau Pudina Presint 17, Mohd. Azam
Tumija, 38, berkata, kursus tersebut pertama kali disertainya sejak berpindah ke Presint 17.

“Saya berasa teruja dengan bimbingan yang
diberikan oleh penceramah profesional sepanjang dua hari berkursus. Teknik suara bacaan al-Quran dan taranum yang disampaikan dapat memberikan panduan dan membantu saya memperbaiki kelemahan bacaan kitab suci itu,” katanya.

Peserta dari Surau At-Taufik Parcel 5R1 Presint 5, Hasfarizzal Musa, 35, pula menyifatkan kursus tersebut amat berguna dan memberi pengalaman baharu.

“Saya berasa lebih yakin selepas dua hari berkursus kerana ilmu yang dipelajari ini dapat dikongsikan dengan rakan- rakan yang lain,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas